Terlalu lama main telefon bimbit, lelaki disahkan hidap Sindrom Kepala Terjatuh

Terlalu lama main telefon bimbit, lelaki disahkan hidap Sindrom Kepala Terjatuh
Seorang lelaki Jepun berusia 25 tahun hampir lumpuh leher selepas terlalu lama menundukkan kepala memandang telefon bimbit sehingga menyebabkan beliau tidak mampu mengangkat kepala.
Lebih membimbangkan, dia disahkan menghidap Dropped Head Syndrome atau Sindrom Kepala Terjatuh.
Kes yang jarang berlaku ini dilaporkan dalam jurnal perubatan JOS Case Reports dan mendedahkan kesan buruk daripada kedudukan kepala yang tidak semula jadi dalam tempoh yang berpanjangan.
Lelaki tersebut mengalami benjolan besar di belakang leher sehingga menjadi terlalu lemah untuk menyokong kepala sendiri.
Sebelum mendapatkan rawatan, mangsa mengalami sakit leher yang teruk dan kesukaran menelan, menyebabkan berat badannya menurun dengan cepat.
Pemeriksaan imbasan menunjukkan tulang belakang lehernya telah rosak, terkeluar daripada kedudukan asal serta terdapat tisu parut akibat regangan berlebihan.

Mangsa dikatakan melihat telefon secara menunduk terlalu lama. – Agensi
Menurut doktor, lelaki itu merupakan individu yang aktif semasa zaman kanak-kanak, namun keadaannya berubah ketika remaja selepas menjadi mangsa buli teruk di sekolah.
Keadaan tersebut menyebabkan dia berhenti sekolah dan menghabiskan sebahagian besar masa di bilik dengan bermain telefon bimbit dalam keadaan kepala tunduk selama berjam-jam.
Rawatan awal menggunakan kolar leher tidak berjaya dan mangsa mula mengadu kebas. Oleh itu, pembedahan dilakukan dengan memotong sebahagian tulang belakang yang rosak dan tisu parut, serta memasang skru dan rod logam bagi membetulkan posisi lehernya.
Enam bulan selepas pembedahan, lelaki tersebut sudah mampu mengangkat kepala dengan mudah dan mengekalkan kedudukan yang betul. Keadaan itu kekal baik pada pemeriksaan susulan setahun selepas pembedahan.
Doktor mengingatkan masyarakat, terutama golongan muda, agar tidak terlalu lama menggunakan telefon bimbit dalam posisi kepala tunduk kerana ia boleh membawa risiko kesihatan serius seperti yang dialami lelaki ini.
Dropped Head Syndrome biasanya dikaitkan dengan penyakit neuromuskular, namun ia juga boleh berlaku akibat kecacatan tulang belakang berpunca daripada kedudukan kepala yang tidak normal dalam jangka masa panjang.