“Memang jenis buka cerita kawan-kawan ke?” – Podcast Shuib bersama Man Raja Lawak undang kecaman
Program audiosiar atau lebih dikenali sebagai podcast semakin mendapat tempat di kalangan pengguna media sosial.
Oleh sebab itu dapat dilihat banyak siaran podcast yang muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Antara podcast yang paling mendapat tempat dan menjadi pilihan ramai adalah Dol’s Podcast yang dikendalikan oleh pelawak terkenal, Shuib, Mamat dan Fizie Roslan.
Namun, baru-baru ini siaran audiosiar itu sekali lagi menjadi bualan ramai selepas satu pendedahan dibuat oleh tetamu mingguan podcast berkenaan, Man Raja Lawak.
Menerusi Episod 17 Dol’s Podcast yang dimuat naik di akaun YouTube Shuib Channel, Man atau nama sebenarnya Abdul Rahman Kassim menceritakan kisahnya sepanjang bergelar pelawak.
Namun, apa yang menjadi perhatian adalah kenyataan Juara Raja Lawak Musim Kelima itu mengenai pembabitannya dalam program lawak popular Sepahtu Reunion Live (SRL).
Jelas Man, dia sebelum ini mengharap menjadi ahli tetap dalam program popular itu apatah lagi dia telahpun menjadi artis undangan selama beberapa episod dalam program tersebut.
Tambah Man lagi, dia mengakui program itu sebagai platform buat pelawak untuk menempa nama di dalam industri hiburan.
“Orang kata, kalau zaman sekarang, itu je platform pelawak nak naik. Siapa tak nak, pelawak yang ada ni, kalau kata bukan aku, sesiapa pun, kalau sanggup bayar, diorang bayar untuk masuk.
“Itulah benchmark untuk naik, itulah tempat dia,” kata Man.
Membuat perbandingan dengan kisah hidup ahli Sepahtu Reunion Live, Rahim, Man menegaskan dia tidak pernah cemburu dengan laluan hidup rakan pelawaknya itu.
Pelakon filem Longkai itu juga mendedahkan sebelum ini ada pihak telah memberi harapan kepadanya untuk menjadi ahli tetap kumpulan tersebut menyebabkan dia memasang impian dan perancangan di masa hadapan.
“Bila diorang dah janji macam tu, aku pun berharap la, bukan tak berharap. Aku cakap dengan bini aku, kalau aku dapat masuk, gaji pertama aku, mungkin separuh tu aku sedekahkan.
“Kalau kata RM10,000 la contoh, aku mungkin ambil RM1,000 je, RM9,000 aku akan sedekahkan. Niat aku.
“Bila dah duduk dekat situ, sebenarnya bukan gaji yang aku perlukan tapi nama aku besar (dikenali) lepas tu,” kata Man.
Walau bagaimanapun, Man meluahkan rasa sedih apabila impiannya untuk menjadi ahli tetap program tersebut tidak kesampaian.
Malah, Man turut memberi gambaran seolah-olah dirinya ditikam oleh rakan sendiri.
“Bila aku tak dapat masuk group tu (Sepahtu Reunion Live), sebenarnya aku sedih gila. Aku nangis. Aku baca pula netizen punya komen, aku nangis.
“Memang betul aku nak benda tu. Biar orang nampak aku macam minta sedekah, tak pe.
“Pasal aku fikir, kalau aku minta sedekah pun, kalau aku dapat, aku buat yang terbaik, benda ni untuk keluarga aku, untuk kawan-kawan aku, untuk agama aku, untuk masa depan aku.
“Bila tak dapat, aku rasa tak pelah, mungkin Allah ada rancangan,” katanya lagi.
Namun, memetik mStar, Man menjelaskan dia tidak akan menerima pelawaan sebagai pelawak undangan dalam program Sepahtu Reunion Live lagi.
Pun begitu, dia terbuka untuk bekerjasama dengan Sepahtu sekiranya ada peluang lain lagi.
Sedutan podcast yang turut dikongsikan di platform X nyata mendapat perhatian pengguna media sosial.
Mengintai ke ruangan komen, kebanyakan mereka mengecam dan berpendapat kandungan podcast tersebut seolah-olah memburukkan rakan artis.
Malah, ada di antara mereka yang merasakan podcast sebegitu tidak mendatangkan kebaikan kepada pendengar.