Sherry Alhadad terkejut digelar ikon Ramadan

Sherry Alhadad terkejut digelar ikon Ramadan
Pengacara dan pelakon Sherry Alhadad tidak pernah menyangka dirinya digelar ikon Ramadan oleh segelintir individu susulan video ‘Marhaban Tiba’ dan ‘Farah dah pukul 7 ke belum?’ yang tular setiap tahun.
Menurut Sherry, dia sudah terbiasa dengan situasi tersebut walaupun video tersebut sudah dirakam beberapa tahun lalu.
“Video itu memang tak rancang pun sebenarnya, bukan untuk viral tetapi lebih kepada parodi. Semua itu hanya gurauan manja dan situasi yang kita semua lalui setiap kali berpuasa.
“Kami sudah rekod video itu lama dan saya rasa viral adalah disebabkan wujudnya media sosial kemudian orang ulang siar banyak kali dan tiba-tiba dah jadi ikon,” katanya ketika ditemui pada majlis Sidang Media & Tayangan Perdana Program Raya Astro 2025 di One World Hotel di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Sherry tidak kisah sekiranya kerap diusik berkaitan video tersebut.
Katanya, ada netizen yang mengucapkan terima kasih kerana telah menghiburkan mereka dengan gelagat lucunya.
“Saya okey sahaja bila orang nak mengusik tentang tentang video tersebut, hakikatnya semua itu adalah satu benda yang menghiburkan.
“Ada juga yang menghantar DM (direct message) dalam Instagram dan ucap terima kasih kerana menghiburkan mereka setiap tahun.
“Mereka berterima kasih kerana menceriakan hidup mereka. Jadi, saya rasa terharu, sedikit sebanyak adalah benda benda baik yang saya buat kepada individu atau pun netizen yang menonton,” ujarnya.
Terdahulu, Sherry sebelum ini pernah tersasul menyanyikan lagu Ramadan Tiba nyanyian asal penyanyi Indonesia, Opick sewaktu siaran langsung sebuah program televisyen.