“Sewa RM124, tak bayar 8 bulan” – Penyewa PPR berang, tak puas hati penguatkuasa DBKL terjah rumah
Tular satu video memaparkan seorang wanita yang merupakan penyewa PPR (Projek Perumahan Rakyat) berang apabila pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) datang ke kediaman untuk mengutip bayaran sewa rumahnya.
Menerusi satu perkongsian di TikTok, @malaysiakantoi telah memuat naik video wanita tersebut bersama tiga orang pegawai DBKL.
@malaysiakantoi dalam whatsapp group kata akak ni tak bayar sewa PPR 8 bulan. #fyp #madani #dbkl #kualalumpur
Dalam video tersebut, wanita berkenaan mempersoalkan mengapa pihak DBKL tidak mahu membantu bangsa sendiri yang sedang mengalami kesusahan.
“Tak boleh ke nak tolong bangsa sendiri? Kita Melayu kot, kenapa tak nak tolong bangsa sendiri? Warga asing yang tengah berniaga tepi jalan tu, tak nak pula pergi kacau.
“Tak payah semak lah. Datang semak sini buat apa?” kata wanita tersebut.
Sementara itu, pegawai yang datang ke rumah wanita tersebut cuba menenangkannya dan berkata mereka datang ke kediaman itu dengan tujuan ingin memberikan bantuan.
Bagaimanapun, wanita tersebut masih kelihatan berang dan berkata dia tidak mempunyai wang disamping suaminya sedang terlantar sakit.
Pegawai yang tetap kelihatan tenang itu kemudian berkata sewa bulanan bagi rumah tersebut hanya RM124 namun dibalas dengan jeritan daripada wanita berkenaan.
“Saya tengah susah, suami saya sakit tau. Memanglah, saya tahu RM124 sebulan tapi saya tengah susah. RM50 pun saya takde dalam akaun,” ujar wanita itu.
Pegawai itu kemudian menjawab mereka maklum wanita itu berada dalam kesempitan dan mereka mencadangkan agar dia membayar sewa rumah secara ansuran.
Namun begitu, wanita tersebut tidak menyambut dengan baik cadangan tersebut dan mempersoalkan apa ansuran yang dimaksudkan oleh pegawai berkenaan sebelum video terhenti.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa geram kerana walaupun sewanya rendah berbanding rumah lain di Kuala Lumpur, wanita tersebut tetap gagal membayarnya.
Dalam pada itu, ada juga warga maya yang meninggalkan komen mendakwa wanita tersebut tidak membayar sewa rumah selama lapan bulan sehingga menyebabkan DBKL datang ke kediamannya.
Walaubagaimanapun, terdapat segelintir warganet yang menyuarakan sokongan serta rasa kasihan kepada wanita berkenaan dan berkata wanita itu mungkin memang berada dalam kesusahan.
Menerusi tinjauan, belum ada sebarang kenyataan yang dibuat daripada mana-mana pihak terlibat di dalam video tersebut.