“Sedih, tapi itu keputusan yang terbaik..” – Anak Sharifah Aini perjelas isu jual rumah ibu
Anak Sharifah Aini akui sedih jual rumah ibu yang terletak di Petaling Jaya, Selangor selepas tular dakwaan mengatakan banglo seluas 20,000 kaki persegi (1,858 meter persegi) telah dirobohkan.
Meksipun sedih, namun anak kepada Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini iaitu Aliff Omar Aliff yakin ia merupakan keputusan yang terbaik.
“Walaupun saya sedih, saya rasa itu adalah keputusan yang terbaik untuk dilakukan.
“Perkara ini telah selesai dan saya harap semua orang memahami keputusan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Aliff turut berterima kasih kepada semua pihak yang masih ingat akan Allahyarham ibunya.
“Terima kasih atas perhatian dan kerana masih mengingati ibu saya yang telah lama meninggal dunia,” katanya lagi.
Terdahulu, pada 2018, rumah berkenaan dilaporkan telah diiklankan di laman Facebook untuk dijual dengan harga RM8 juta.
Terbaharu, hasil tinjuan di tapak rumah itu mendapati ia sudah pun diratakan pemilik baharu tanah untuk pembinaan bangunan tiga tingkat.
Malah, wakil syarikat pemaju memberitahu hartanah berkenaan telah dibeli dengan harga kira-kira RM4 juta.
Difahamkan, semua barangan peribadi milik penyanyi tersohor itu terutama berkaitan kerjaya nyanyiannya sudah dipindahkan dan disimpan ke tempat lain.
Turut dilaporkan, bahawa barangan lebih besar seperti perabot juga dijual kepada rakan dan ahli keluarga pada masa itu.
Aliff memutuskan untuk menjual banglo itu kerana ia terlalu besar untuk lima sekeluarga, selain ia terlalu mahal untuk diselenggara.
Sekadar info, Allahyarham Sharifah Aini atau mesra disapa Kak Pah meninggal dunia pada 5 Julai 2014 di Pusat Perubatan Pakar Damansara pada usia 61 tahun, akibat jangkitan pada paru-paru.