“Sedap sangat” – Wanita hamil kongsi pengalaman mengidam karipap kambing Penjara Kajang

“Sedap sangat” – Wanita hamil kongsi pengalaman mengidam karipap kambing Penjara Kajang

 

Setiap ibu mengandung pasti pernah merasai keinginan mendalam untuk sesuatu. Walaupun kadangkala keinginan itu sukar untuk dipenuhi, namun si suami akan berusaha sehabis baik demi memenuhi hasrat isterinya.

Sebuah video yan tular baru-baru ini menunjukkan seorang ibu hamil, Ashfazieraa, berusaha keras untuk mendapatkan makanan yang sangat diidamkan olehnya, iaitu karipap kambing.

“Mummy dah lama mengidam nak makan karipap kambing. Daddy kata, tunggu dia balik, dia akan bawa mummy pergi beli,” katanya.

@ashfazieraa

Karipap kambing penjara kajang 🥹@Muhamad Iman

♬ original sound – user93244148287

Namun, perjalanan mereka untuk mendapatkan karipap kambing itu bukanlah mudah. Pada kunjungan pertama mereka ke Prismart di Penjara Kajang pada jam 4 petang, mereka diberitahu bahawa premis tersebut sudah tutup.

Tak berputus asa dan mereka kembali lagi keesokan harinya pada jam 12 tengah hari. Tetapi malangnya, stok pula telah habis.

Mereka kembali lagi buat kali ketiga pada jam 8.50 pagi. Bekalan karipap kambing pula masih belum tiba dan mereka terpaksa meluangkan masa untuk menunggu hampir tiga jam di kafe penjara.

“Mummy tunggu lama, hampir tiga jam. Perut pun dah cramp sebab duduk lama-lama. Tapi tak apalah, dengan harapan mummy dapat karipap kambing tu, mummy tunggu juga,” ujarnya.

Mujurlah ada pegawai penjara yang prihatin tampil membantu mereka mendapatkan karipap kambing yang diidamkan itu.

“Sarjan itu kata, kalau mummy tak jumpa dia, mungkin sampai ke hari ini masih tak dapat karipap kambing ini. Sebab order terlalu tinggi dan kena beratur untuk mendapatkannya.

“Kalau Sarjan ada nampak video ini, mummy nak ucapkan ribuan terima kasih. Alhamdulillah dapat juga merasa karipap kambing ini. Sedap sangat. Alhamdulillah, rezeki anak mummy dapat rasa juga karipap kambing,” kata Ashfazieraa sambil menitiskan air mata.

Difahamkan, karipap kambing ini tidak dijual di luar dan hanya boleh didapati di Penjara Kajang sahaja.