“Saya terkejut” – Abang & kakak ipar terbabit kes dadah di Thailand, Jaa Suzuran akhirnya buka mulut

“Saya terkejut” – Abang & kakak ipar terbabit kes dadah di Thailand, Jaa Suzuran akhirnya buka mulut

 

“Saya terkejut” – Abang & kakak ipar terbabit kes dadah di Thailand, Jaa Suzuran akhirnya buka mulut

“Percayalah kalau ada perkara yang saya boleh cakap memang saya nak bercerita. Siapa tak nak pertahankan keluarga.”

Demikian kata pelakon Jaa Suzuran mengenai penangkapan abang dan kakak iparnya yang juga penyanyi lagu popular Bea Soba Bea, Eda Ezrin bersama empat lagi rakyat Malaysia di sebuah hotel di Sungai Golok, wilayah Narathiwat, selatan Thailand, bersama 6,000 pil methamphetamine atau pil kuda pada 1 November tahun lalu.

Jaa ketika ditemui berkata, dia mengaku terkejut mengenai penahanan mereka, lebih-lebih lagi ia membabitkan ahli keluarganya.

“Sudah tentu saya terkejut sebab berlaku secara tiba-tiba. Susah saya nak jelaskan.

“Kalau kejadian sama berlaku kepada anda, sudah pasti turut memberi kejutan.

“Kami sekeluarga sekarang hanya mampu berdoa supaya segala urusan dipermudahkan.

“Saya nak cakap lebih-lebih pun saya tiada di tempat kejadian. Cuma saya harap ujian yang berlaku ini baik-baik sajalah,” katanya.

Tenang menjawab setiap soalan yang diajukan, Jaa bagaimanapun memohon orang ramai supaya berhenti membuat spekulasi atau andaian tidak benar mengenai kes yang sedang berjalan di mahkamah.

“Saya harap kita berhati-hati ketika bercakap.  Ini kerana, kita tak tahu cerita sebenar yang terjadi pada waktu kejadian. 

“Saya tidak dapat nafikan saya pun sebelum ini pernah membuat spekulasi dan memberikan komen apabila sesuatu kes viral  walaupun hakikatnya kita pun tiada di tempat kejadian,” katanya.

Menyedari kes yang berlaku meraih perhatian dan liputan secara meluas, Jaa berkata, dia tidak mampu menutup mulut orang ramai untuk terus bercakap terutama di media sosial.

“Kadang-kadang saya memilih untuk tak layan komen yang ditinggalkan. Lagipun kita tak boleh nak salahkan mereka sebab kes ini sudah viral.

“Siapa yang tak ikut (perkembangan kes)? Saya hanya mampu ‘tahan’ dan bersabar. Kita nak marah pun tiada guna,” katanya.

Media melaporkan pada 14 Januari lalu, penyanyi dikir barat Malaysia dan lima yang lain didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat  atas pertuduhan memiliki 6,059 pil yaba dan mengambil dadah di Pekan Sungai Golok pada 1 November lalu.

Bagaimanapun penyanyi, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30; suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta empat yang lain, Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; Erdeka Mohd Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki pil yaba.

Namun mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah (memasuki dadah dalam badan) selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Wilayah Narathiwat, Yuan Khao Kham

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa memiliki pil yaba di sebuah hotel di bandar Sungai Golok jam 5 pagi (waktu Thailand) pada 1 November lalu.