“Saya ada kuota khas..” – Presiden MOM jawab dakwaan bawa anak & isteri ke Olimpik Paris

“Saya ada kuota khas..” – Presiden MOM jawab dakwaan bawa anak & isteri ke Olimpik Paris

 

Berakhir sudah acara badminton di Sukan Olimpik Paris 2024 yang menyaksikan Malaysia berjaya membawa pulang dua pingat gangsa dalam temasya terbabit.

Kedua-dua pingat berkenaan berjaya diperolehi menerusi gandingan beregu lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia (LZJ).

Bagaimanapun, di media sosial orang ramai kembali memperkatakan tentang nasib pemain badminton wanita negara, Goh Jin Wei yang ke Paris sendirian tanpa ditemani jurulatih profesionalnya, Nova Armada.

Ia susulan tular satu gambar yang memaparkan dua individu didakwa isteri dan anak lelaki Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang turut berada di Paris sebagai penonton sekali gus menimpulkan persoalan ramai.

kad akreditasi diberikan kepada keluarga ahli majlis tertinggi olimpik

Terbaharu, Norza berkata dia mempunyai kuota khas untuk membawa tetamu sendiri bagi menonton acara dalam temasya Olimpik Paris 2024.

Menurutnya, kuota terbabit tidak mempunyai kaitan dengan kad akreditasi melibatkan kontinjen dan pasukan negara yang menyertai kejohanan berkenaan.

“Sebagai presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan dan MOM saya diberikan peruntukan untuk bawa tetamu sendiri.

“Saya ada kuota khas, tidak kena-mengena dengan atlet,” katanya memetik Malaysiakini.

Perkara sama turut dimaklumkan MOM kepada FMT. Jelas MOM, pegawai kanan yang menghadiri sukan Olimpik diberi kad akreditasi khas yang membenarkan mereka membawa jemputan khas ke temasya itu.

Tambahnya, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa ada memperuntukkan kad akreditasi khas untuk presiden MOM dan setiausaha agung, bersama orang jemputan masing-masing.

“Akreditasi untuk individu-individu ini tertakluk kepada pelbagai had, terutama berkenaan akses kepada lapangan sukan dan perkampungan atlet.”

Perkara ini bagaimanapun tidak melibatkan sebarang pembiayaan dari kerajaan.

Sebelum ini, penularan gambar berkenaan juga menyebabkan rata-rata pengguna media juga meminta Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli untuk memberi penjelasan.

Terdahulu, Goh tidak dapat membawa Nova ke temasya sukan terulung dunia itu berikutan kad akreditasi yang terhad dikeluarkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Namun, sepanjang berada di Paris, Goh dibantu oleh Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky dan jurulatih beregu lelaki negara Tan Bin Shen.

Untuk info, Goh merupakan atlet badminton profesional dan bukan di bawah seliaan BAM sama seperti LZJ.