“Ini daging premium” – Dituduh jual set sate harga ‘Israhel’, Mark Adam tampil beri penjelasan

“Ini daging premium” – Dituduh jual set sate harga ‘Israhel’, Mark Adam tampil beri penjelasan

 

“Ini daging premium” – Dituduh jual set sate harga ‘Israhel’, Mark Adam tampil beri penjelasan

Mark Adam tampil memberikan penjelasan tentang harga set sate yang dijualnya yang dikecam oleh netizen sebagai harga cekik darah.

Segalanya bermula daripada video yang dikongsi oleh seorang influencer makanan terkenal.

Dalam video tersebut Mark Adam menyatakan bahawa setiap set sate yang dia jual ada 3 cucuk sahaja dengan segelas minuman berharga RM19.90 sehingga RM24.90.

Mark Adam dalam video promosi menyatakan: “Sate kita saiz 30, besar. Untuk ayam berharga RM19.90, untuk sate daging berharga RM21.90, sate kambing berharga RM24.90. Sekali dengan air blue lemon.”

Netizen kemudian menganggap harga tersebut sebagai tidak masuk akal terutama sekali untuk makanan dijual di festival makanan yang rata rata dikunjungi golongan B40.

Seterusnya ramai yang menasihati agar elakkan sahaja gerai Mark Adam yang dianggap menjual pada harga yang melampau.

Sambil ada yang mengingatkan bahawa apa yang dilakukan Mark Adam sebagai seorang selebriti ini boleh merosakkan harga pasaran sate di tepi jalan yang mungkin selepas ini akan dijual RM3.50 secucuk.

Bukan sahaja harga sate Mark Adam yang dikecam, malah harga makanan lain juga dianggap cekik darah. Malah ada yang mengecam seorang peniaga tom yam yang menyatakan kuah tom yam itu dibuat dia sendiri dan ‘homemade’ berharga RM30.

Mereka berkata: “Yang tak boleh blah tom yam akak tu: ‘Ni kita buat sendiri tau. Homemade’, memanglah, dah kau yang jual takkan suruh company lain masakkan pula, mestila masak sendiri.”

Mark Adam kemudian membuat satu video penjelasan tentang kenapa sate yang dia jual mahal. Dia akui rasa terkilan dengan komen yang dilontarkan netizen telah mengguris hati pekerjanya sehinggakan mereka tidak semangat lagi bekerja.

Ini kerana ada yang menuduh mereka menjual sate harga Is*****.

Mark Adam berkata: “Staf saya ternampak komen komen, dan ada di antara komen itu yang sangat tidak sedap [dibaca].

“Saya tidak kisah [dengan komen negatif] sebab dah terbiasa dengan perkara sebegini. Pekerja saya adalah budak budak baru, semalam dan pagi tadi mereka telah hilang semangat selepas membaca satu komen, harga sate bhalut saya sebagai harga Isr*he*l.

“Harga sate daging saya, satu set, 3 cucuk termasuk air, RM21.90. Apa kata kita kira sama sama, macamana modal saya.

“Seperti yang saya kata sebelum ini, daging sate saya adalah daging daging yang premium. Di mana kita ambil daging daging ini daripada kilang terkemuka yang menghantar daging sate ke restoran, hotel dan pada seorang chef selebriti terkenal.

“Jom kira modal. Sate yang saya jual ini, satu cucuk adalah 30 gram sebelum dibalut dengan popiah. Bukan macam sate biasa seperti dijual di luar sana. Modal untuk setiap cucuk sate saya adalah RM2.50, jadi RM7.50 untuk 3 cucuk.

“Air kita menggunakan cawan yang besar dan kuat, ada dua air dicampur termasuk dengan limau, harga modal kita letak RM3, tiada masalah. Jadi setakat ini, modal adalah RM10.50.

“Logistik, mereka hantar banyak barang barang ke sini dari Ampang ke Shah Alam dalam seribu lebih, dan sama juga harga untuk bawa balik ke.

“Jadi harga logistik untuk setiap set adalah RM2. Jadi setakat ini sebanyak RM12.50, ini harga anggaran untuk modal dalam setiap set yang pelanggan beli itu.

“Kemudian pembalut setiap sate itu adalah RM1.00 untuk setiap set.

“Gaji pekerja kami dalam RM500 seorang untuk 3 hari. Kalau ada untung lebih, kami akan bagi lebih. Gaji pekerja untuk setiap set adalah RM2.50. Dalam set ada kuah kacang, bernilai RM1.50 dalam setiap set. Setakat ini RM17.

“Apalagi, pengangkutan, maintenance, petrol dan juga runner. Kita letak RM1.00. Tapak niaga, ini adalah festival makanan no.1 di Malaysia, mesti ada harga. Tetapi untuk memuaskan hati awak semua, saya abaikan harga tapak.

“Barang maintenance, decoration, saya letak RM1. Jadi modal untuk setiap set adalah RM19.00.

“Harga tadi RM21.90 tolak dengan modal, jadi untung dia cuma RM2.90 untuk setiap set, adakah ini harga Isr*he*l?

“Jom kita bayangkan ada 1,000 orang pelanggan beli, untung RM2,900. Dan saya nak tanya awak semua, adakah ini cukup untuk bayar tapak niaga?

“Guys, kita ni berniaga, saya akui masih belajar. Dah ramai yang beli sate bhalut, namun yang tak beli pula yang ramai memberikan komen dalam tu, apahal?

Mark Adam kemudian menegaskan bahawa, baru sekarang dia memahami kesukaran dihadapi peniaga sejak dia sendiri berjinak jinak dalam dunia perniagaan.