Tiada lagi kelibat Sarjan Alang buat ‘roadblock’ di Meru

Tiada lagi kelibat Sarjan Alang buat ‘roadblock’ di Meru

 

Tiada lagi kelibat Sarjan Alang buat ‘roadblock’ di Meru

Seorang lelaki yang sering berpakaian seperti anggota polis dan melakukan ‘sekatan jalan raya’ secara spontan di sekitar Meru, Klang telah dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis susulan penularan sebuah video berkaitan tindakannya baru-baru ini.

Menurut pemilik akaun Facebook Eone Psyco, kelibat lelaki dikenali sebagai Sarjan Alang mungkin tidak lagi dapat dilihat selepas ini kerana pihak polis telah mengambil tindakan lanjut.

“Kami telah membuat rayuan agar beliau dibenarkan meneruskan aktiviti tersebut, namun permintaan itu ditolak,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Isnin.

Tambahnya, polis turut menegaskan Sarjan Alang dilarang daripada memakai seragam menyerupai anggota polis dan melakukan sebarang aksi yang meniru tugas penguat kuasa selepas ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa pakaian seragam serta kelengkapan yang digunakan oleh Sarjan Alang kini berada dalam simpanan polis.

“Sarjan Alang ini anak istimewa. Cita-citanya memang ingin menjadi anggota polis tetapi apakan daya (tidak kesampaian).

“Jika tiada aduan, pihak polis biasanya tidak bertindak, namun selepas desakan dari segelintir netizen, pihak polis terpaksa mengambil tindakan,” jelasnya.

Kenyataan itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang selama ini menyokong, membantu dan mendoakan Sarjan Alang.

Selain itu, katanya, pihaknya juga merancang untuk menyesuaikan peranan Sarjan Alang dengan watak baharu.

“Mungkin dia akan naik pangkat menjadi detektif pula,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan itu turut mengingatkan orang ramai agar tidak lagi menularkan video yang boleh mencetuskan tekanan terhadap individu istimewa seperti Sarjan Alang, sebaliknya terus menyalurkan sokongan secara berhemah.

Sarjan Alang sebelum ini menjadi tumpuan masyarakat setempat kerana kerap dilihat mengenakan seragam menyerupai anggota polis dan melakukan ‘sekatan jalan raya’ di sekitar Meru dengan cara tersendiri.