Sarimah Ahmad akhirnya dapat semula 4 pita asal filem selepas hampir 40 tahun berjuang

Sarimah Ahmad akhirnya dapat semula 4 pita asal filem selepas hampir 40 tahun berjuang

 

Sarimah Ahmad akhirnya dapat semula 4 pita asal filem selepas hampir 40 tahun berjuang

Seniwati Datuk Sarimah Ahmad meluahkan rasa syukur akhirnya berjaya mendapatkan semula pita asal empat filem terbitannya selepas 37 tahun berjuang menuntut hak itu.

Sebak mengenang usaha yang dilakukan sebelum ini, Sarimah, 83, turut berterima kasih kepada Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menjadi pencetus dalam mendapatkan semula filem tersebut.

“Pertama kali, saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Madani, khususnya kepada Perdana Menteri kita.

“Saya tidak dapat membalas budi, cuma Allah sahaja yang akan membalasnya,” katanya kepada mStar.

Sarimah berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis Ziarah Seni Madani Finas oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching di kediamannya pada Khamis.

Berkongsi lanjut tentang perjuangan menuntut haknya itu, Sarimah memberitahu beliau pernah berasa hampir berputus asa kerana sering kali menemui jalan buntu.

Bagaimanapun dengan usaha yang ditunjukkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Persatuan Karyawan Malaysia dalam membantunya mendapatkan filem itu semula, dia kembali yakin perjuangannya ini pasti akan membuahkan hasil.

“Bila melihat Finas dan Karyawan bersemangat untuk membantu saya menyelesaikan isu ini, saya kembali yakin yang usaha ini akan berhasil.

“Sebaik dimaklumkan yang pihak pengedar bersetuju untuk menyerahkan kembali hak cipta filem itu dua minggu lalu, saya terus tergamam.

“Saya tak henti-henti mengucapkan rasa syukur kepada Allah kerana penantian selama 37 berakhir dengan berita gembira,” ujarnya.

Sementara itu, Teo Nie Ching memberi jaminan bahawa kesemua filem berkenaan akan dikembalikan kepada Sarimah dalan masa terdekat.

Kata Nie Ching, pihaknya turut akan mempertimbangkan pemberian royalti hasil lakonan seniwati berkenaan.

“Kami akan mengkaji perkara ini dan secara prinsipnya, syarikat terbabit telah bersetuju bahawa sekiranya filem ini dapat ditayangkan di RTM, sedikit royalti boleh disalurkan kepada Sarimah.

“Namun, butiran lanjut akan diteliti bersama pihak,” jelasnya.

Tambahnya lagi, syarikat pengedar filem-filem tersebut telah menyerahkan salinan format HDD kepada Finas untuk tujuan restorasi bagi membolehkan filem itu diserahkan semula kepada Sarimah.

Tidak hanya itu, pengedar filem berkenaan juga akan memberikan wang saguhati kepada Sarimah sebagai tanda penghargaan atas sumbangan beliau dalam industri perfileman negara.

Acara Ziarah Seni Madani Finas ini turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez, dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi.

Pada Februari tahun lalu, Sarimah meluahkan rasa kecewa apabila seorang penerbit didakwa tidak menepati janji bagi memulangkan pita asal empat filem hasil terbitannya yang disimpan sejak 36 tahun lalu.

Dedah Sarimah, ketika itu dia terpaksa menyerahkan salinan asal pita berkenaan sebagai membayar hutang kepada penerbit yang enggan disebut namanya.

Katanya, empat tajuk pita filem dalam simpanan penerbit berkenaan adalah Kabus Tengahari, Detik 12 Malam, Dia Ibuku dan Jejak Bertapak mempunyai kenangan tersendiri buatnya.