Sarah Suhairi selamat bergelar isteri dengan sekali lafaz, pilih pensyarah sebagai suami

Sarah Suhairi selamat bergelar isteri dengan sekali lafaz, pilih pensyarah sebagai suami

 

Penyanyi Sarah Suhairi selamat bernikah kepada seorang pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu Aswad Anuar dengan sekali lafaz di Barern Hill, Hulu Langat, Selangor pada pukul 8.30 pagi Jumaat.

Memetik laporan mStar, pasangan itu dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Suhairi Hamdan dan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan iaitu Ahmad Khaliq Md Rasid.

Sementara itu, pengantin lelaki telah memberikan seutas gelang emas berharga RM2,486 sebagai mas kahwin disamping turut menyerahkan lima dulang hantaran namun wang hantaran pula dirahsiakan manakala, penyanyi berusia 24 tahun itu pula telah menyerahkan tujuh dulang hantaran kepada pihak lelaki.

Dalam pada itu, pasangan tersebut telah menjemput ahli keluarga kedua-dua belah pihak, sahabat handai dan rakan media yang membuat liputan pernikahan pasangan berkenaan.

Antara rakan artis yang turut hadir meraikan pasangan itu termasuk Naim Daniel, Afieq Shazwan, Wani Kayrie, Sissy Iman dan Shafiq Erwin.

Kedua-dua Sarah dan Aswad mempunyai minat yang sama iaitu menunggang kuda dan perkenalan mereka bermula selepas bertemu di sebuah pusat equestrian pada 2020.

Selepas hampir empat tahun perkenalan, pasangan itu kemudian mengikat tali pertunangan pada 27 Januari lalu sebelum bernikah pada hari ini.

Sekadar info, Aswad yang berusia 39 tahun itu merupakan pensyarah dengan kelayakan dalam bidang equestrian.

Pada majlis itu juga, Sarah melancarkan single terbaharunya berjudul With You yang menampilkan Aswad dalam muzik video lagu berkenaan.