Filem animasi Dongeng Sang Kancil didakwa ‘cedok’ dari warisan budaya Indonesia

Filem animasi Dongeng Sang Kancil didakwa ‘cedok’ dari warisan budaya Indonesia

 

Filem animasi Dongeng Sang Kancil didakwa ‘cedok’ dari warisan budaya Indonesia

Baru-baru ini, filem animasi berjudul Dongeng Sang Kacil yang dihasilkan oleh syarikat produksi animasi dari Malaysia, Les’ Copaque Production, dengan kerjasama Astro Shaw telahpun disiarkan menerusi platform Netflix.

Filem yang mendapat rating positif dari pelbagai pihak bagaimanapun menjadi perhatian apabila seorang warga maya dari Indonesia di X membuat dakwaan berat berhubung peniruan kisah dongeng Sang Kancil itu dari warisan budaya negara itu.

Dia pada mulanya mempersoalkan mengapa filem animasi Dongeng Sang Kancil hasil ciptaan studio Malaysia yang tayang di Netflix itu diletakkan label Malaysia padahal menurutnya kisah Kancil ini adalah warisan budaya Indonesia.

”Cerita Kancil adalah warisan budaya Indonesia yang tercatat sejak 1822 dalam Serat Kancil Amongsastra,” katanya.

Oleh itu, dia bersuara bahawa sudah sampai masa untuk mereka mempertahankan budaya tempatan dari ‘diambil’ oleh negara lain.

Tidak sekadar itu, dia menuduh ini bukan kali pertama warisan atau budaya mereka telah diciplak oleh negara lain.

Oleh itu, dia memberikan beberapa point penting sebab perlu bertindak mempertahankan warisa kebudayaan yang turun-temurun itu.

Menurutnya, dia percaya identiti budaya mereka bakal hilang jika secara berterusan diambil oleh pihak luar sekaligus generasi muda di sana akan lupa asal usul sebenarnya.

Selain itu, potensi ekonomi terbuang begitu sahaja kerana karya budaya tempatan boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan. Perkara ini dikuatkan lagi dengan kutipan filem animasi Dongeng Sang Kancil yang berjaya meraih kutipan box office sebesar RM6.3 juta.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan bahawa kelemahan pemerkasaan budaya ini berpunca dari kerajaan Indonesia sendiri yang mana masih tersedia peralatan teknologi yang lapuk serta tiada peruntukkan khas atau sokongan untuk industri animasi tempatan.

Hal ini langsung memperlihatkan penguasaan pasaran oleh negara asing lain seperti Malaysia, menjadikan bakat tempatan di sana tidak dapat berdaya saing menghasilkan konten yang bertaraf antarabangsa.

Dia mengakui bahawa negara Malaysia sudah lebih maju ke hadapan yang mana berjaya menggungguli industri animasi kerana adanya sokongan kerajaan, teknologi yang mengikuti peredaran zaman dan juga syarikat-syarikat animasi yang berkaliber.

Ekoran dakwaan tersebut, warga netizen Malaysia tampil memberikan hujah dalam menangkis dakwaan berlakunya ciplak cerita rakyat dari negara jiran tetangga itu.

Sebagai hujah, Hikayat Sang Kancil berasal dari Kepulauan Melayu, meliputi Indonesia dan Malaysia masa kini.

Rekod bertulis tertua dari awal abad ke-19, tapi cerita ini mungkin berakar dari tradisi lisan yang lebih awal, mencerminkan warisan budaya bersama di rantau ini.

Dalam pada itu, ramai percaya cerita rakyat sebegini sudah banyak tersebar di rantau Asia Tenggara seperti di Filipina dan Thailand juga. Oleh sebab itulah kita boleh banyak persamaan di antara satu sama lain kerana datang dari akar sejarah yan sama cuma berbeza versi sahaja.

Bukan itu sahaja, netizen turut menegaskan filem yang dilabelkan Malaysia itu adalah kerana syarikat produksi berasal dari negara ini dan bukannya cuba nak mengambil sejarah orang lain seperti yang didakwa oleh individu tersebut.

Hal ini mengingatkan kepada dakwaan keris Hang Tuah yang turut dikatakan diambil dari khazanah warisan mereka.