Lelaki tinggal sebumbung dengan isteri orang sebab terpikat sambal nasi lemak

Lelaki tinggal sebumbung dengan isteri orang sebab terpikat sambal nasi lemak
Terpikat dengan sambal nasi lemak menjadi punca seorang lelaki memilih bersekedudukan dengan wanita yang masih berstatus isteri orang di sebuah rumah sewa di sini.
Perkara itu terbongkar selepas kediaman itu diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), sebelum pasangan berkenaan dicekup kerana berkhalwat semalam.
Serbuan kira-kira jam 11.45 malam itu hasil maklumat awam selepas curiga dengan pasangan itu yang dipercayai tidak mempunyai ikatan sah, tetapi tinggal sebumbung.
Menurut JAINJ, wanita berusia 28 tahun itu sudah bersuami dan belum mempunyai cahaya mata, namun tidak tinggal sebumbung dengan suaminya itu yang dikatakan berasal dari Mersing.
“Siasatan awal mendapati wanita itu mengenali kekasihnya yang berusia 30 tahun ketika sama-sama bekerja di sebuah kedai makan di Kluang.
“Perkenalan bermula apabila lelaki terbabit meminati sambal nasi lemak dimasak wanita terbabit sehinggalah mereka jatuh cinta.
“Mereka kemudian sepakat menyewa rumah sejak dua bulan lalu dan tinggal seperti suami isteri,” katanya.
Pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.