Saiz gergasi pulut udang Cik La buat ramai terkejut, pikat selera pelanggan

Saiz gergasi pulut udang Cik La buat ramai terkejut, pikat selera pelanggan

 

Mahu menampilkan kelainan serta menarik perhatian pelanggan telah mencetuskan idea seorang peniaga Salasiah Osman, 64, menghasilkan pulut udang gergasi sejak 10 tahun lepas.

Dikenali sebagai Pulut Udang King, Salasiah atau mesra disapa Cik La berkata, meskipun ramai kalangan pelanggannya melahirkan rasa terkejut melihat saiz ‘luar biasa’ pulut udang dihasilkan, rata-rata mereka tertarik membeli juadah berkenaan.

“Ramai hairan tengok saiz pulut panggang saya jual, kerana lazimnya mereka lihat saiz (pulut udang) hanya (panjang) sejengkal jari, namun yang ini hampir sekaki panjang dan lebar kira-kira 12 inci.

“Atas faktor itu mungkin membuatkan timbul keinginan membeli. Kami juga rasa seronok sebab kelainan ditampilkan diterima ramai pelanggan,” katanya ketika ditemui Bernama di gerainya di Kampung Padang Rengas.

CIK Lah tekun membungkus pulut udang bersaiz gergasi dengan menggunakan daun pisang. FOTO BERNAMA

Ditanya tentang penghasilan pulut udang gergasi berkenaan, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia memerlukan sekurang-kurangnya enam hingga tujuh jam sehari menyiapkan proses daripada menanak pulut sehingga memasak inti kuih tradisional itu yang bahan utamanya terdiri daripada kelapa parut dan udang kering.

“Kita perlukan masa sekurang-kurang dua hingga tiga jam untuk proses menanak pulut dan empat jam untuk masak intinya. Prosesnya memang lama sebab kita nak dapatkan pulut lembut. Inti pula kena masak dengan api yang perlahan bagi pastikan adunannya sebati dan tidak berbau hangit.

“Kita juga perlukan sekurang-kurangnya tujuh hingga 10 kilogram (kg) pulut dan kira-kira 5 kg kelapa parut sehari untuk penghasilan pulut udang ini,” katanya yang menjalankan perniagaan pada setiap hari bermula pukul 10.30 pagi hingga 7 malam.

Salasiah berkata, hanya daun pisang abu digunakan sebagai pembalut kuih tradisional Melayu itu kerana ia lebih keras dan mengeluarkan aroma harum apabila dipanggang.

“Kalau daun pisang lain memang tak boleh sebab lembut dan apabila dipanggang akan cepat terbakar sehingga menyebabkan pulut menjadi rentung,” kata anak jati Padang Rengas itu.

CIK Lah memanggang pulut udang yang proses menghasilkannya mengambil masa hingga tujuh jam sehari untuk menyiapkan tugasan menanak pulut serta memasak inti kuih tradisional itu. FOTO BERNAMA

Salasiah berkata, pulut udang gergasi itu dijual dengan harga RM3 sebatang dan mampu dijual kira-kira 150 hingga 300 batang sehari bergantung kepada permintaan dan hari cuti.

“Kalau hari biasa (Isnin hingga Khamis) kita boleh jual dalam lingkungan 150 ke 170 batang sehari, tetapi jumlah berganda pada Jumaat hingga Ahad serta cuti umum.

“Pulut udang ini juga bukan hanya diminati orang kita (Melayu), malah saya ada seorang pelanggan tetap daripada bangsa Cina yang menempah kuih ini apabila tiba Tahun Baru Cina,” katanya.

Mengulas tentang perancangan masa depan, Salasiah berkata, dia bercadang menghasilkan pulut udang sejuk beku untuk memperluas jaringan perniagaan selain meningkatkan pendapatan.

Seorang pelanggan Roshamilla Khalid, 39, berkata, dia mengetahui mengenai pulut udang gergasi itu penghujung November tahun lalu di platform media sosial.

“Saya tengok (pulut panggang ini) di TikTok dan gerai ini laluan saya berulang-alik dari Ipoh ke Kuala Kangsar,” katanya.