“Itu gambar saya” – Saiful Apek dedah punca ditahan polis

“Itu gambar saya” – Saiful Apek dedah punca ditahan polis
Pelawak Saiful Apek, 56, mengakui dirinya adalah individu ditahan polis dalam video yang tular sejak semalam.
“Saya yakin dan pasti, itu adalah gambar saya. Sekarang, pastinya ramai tertanya-tanya apakah punca saya ditahan polis.
“Apa yang boleh saya katakan, ia disebabkan isu pergaduhan. Itu sahaja yang boleh dikongsi, tunggu saya berikan penjelasan sepenuhnya nanti,” katanya secara eksklusif kepada BH Online.
Semalam, kecoh apabila sebuah portal melaporkan kelibat seorang pelawak memakai baju merah jambu yang menyamai Saiful Apek ditahan oleh dua anggota polis. Bagaimanapun, lokasi dan punca kejadian tidak dikenal pasti.
Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2003 itu meluahkan kekesalan apabila perkara sensasi tersebar dalam sekelip mata.
“Kesimpulannya, bila kita buat baik, ramai yang diam. Bila buat silap, ramai berbunyi dan jika tak buat apa-apa, ada pula mula mereka-reka cerita.
“Kalau boleh henti sebarkan perkara yang kita tidak tahu hujung pangkal atau kesahihan selagi tak dengar daripada mulut ‘tuan badan’.
“Tak perlulah nak buat andaian tak kira pihak mana sekalipun.
“Apapun tunggu saya berikan penjelasan selanjutnya. Jadi, tolonglah jangan sebar berita tidak sahih. Doakan yang terbaik buat saya,” kata Apek atau nama sebenarnya, Mohd Saiful Azam Mohamed Yusoff.
Mac lalu, industri hiburan kecoh apabila salah seorang anggota Senario dipercayai Yassin Yahya, ditahan di Lapangan Terbang Jeddah oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Difahamkan, pelawak berkenaan menunaikan umrah bersama rakan-rakannya, namun, ditahan selepas disyaki membawa bahan terlarang.
Pelawak berkenaan dipercayai sedang menjalani penjara selama enam bulan selepas mahkamah menjatuhkan hukuman semasa tempoh perbicaraannya pada November tahun lalu.