“Ingatkan suami pasang seorang skandal je, rupanya tiga”

“Ingatkan suami pasang seorang skandal je, rupanya tiga”
Seorang wanita berdepan dugaan berat apabila mendapati suaminya bukan sahaja curang, malah menjalinkan hubungan dengan tiga wanita serentak.
Dalam perkongsiannya di media sosial, wanita itu berkata pada awalnya dia mengesyaki suaminya mempunyai seorang skandal.
Namun sangkaannya meleset apabila seorang individu membongkar semua rahsia tentang suaminya.
“Hari ni ada orang contact aku. Aku ingat suami aku pasang seorang skandal saja. Rupanya tiga!” katanya, meluahkan rasa kecewa dengan sikap suaminya.
Menurut wanita itu lagi, suaminya memperdaya wanita lain dengan hanya memuat naik gambar anak di media sosial, mendakwa dirinya duda.
Bagi wanita ini, dia tidak meletakkan sepenuhnya kesalahan pada ‘orang ketiga’ memandangkan suaminya telah menipu identiti dan status perkahwinan.
“Ni kalau perempuan, orang panggil sundal dah. Aku? Tidak lagi tangan menggigil, menangis pun tidak.
“Aku tak marahkan (salahkan) perempuan-perempuan tu sebab mereka memang tak tahu suami aku sudah kahwin.
“Bila orang tanya, dia mengaku duda,” luahnya lagi dalam hantaran dibuat.
Lebih mengecewakan, suaminya hanya mengaku dan meminta maaf setiap kali rahsianya terbongkar.
Wanita itu menambah, usia suaminya bukannya muda malah anak mereka sudah bersekolah, sambil menggambarkan perutnya juga sudah semakin membuncit.
“Kalau jadi pada anda, nak simpan lagi tak lelaki macam ni? Bila kantoi, melutut minta maaf. Murah sangat maaf dia tu.
“Bayangkan, serentak ada tiga skandal. Kantoi satu, minta maaf satu. Kantoi dua, minta maaf dua. Kalau tak kantoi, memang dia nak simpan.
“Nak kata muda… anak pun sudah bersekolah. Perut pun dah maju ke depan. Insaf-insaf la,” jelasnya.
Hantaran tersebut mendapat pelbagai reaksi warga maya dengan rata-rata memberikan cadangan langkah seterusnya yang perlu dilakukan.
“Kalau sudah banyak kali sangat mengaku duda, cuba dapatkan khidmat nasihat di pejabat agama.
“Kalau ada bukti, simpan screenshot (tangkap layar) dia pernah beritahu wanita lain dia duda.
“Tunjuk sekali dekat staf di sana. Takut jatuh talak tanpa awak semua sedar,” cadang seorang netizen di ruangan komen.