Rumah usang bernilai RM2.5 juta ini raih perhatian netizen

Rumah usang bernilai RM2.5 juta ini raih perhatian netizen

 

Rumah usang bernilai RM2.5 juta ini raih perhatian netizen.

Peningkatan kawasan penempatan baharu menyebabkan banyak kawasan perumahan lama ditinggalkan penduduk sehingga terbiar kosong lamanya.

Selalunya harga rumah lama akan jatuh, bagaimanapun perkara sebaliknya berlaku buat sebuah rumah usang ini yang terletak di Taman Melawati. Rumah tersebut bernilai jutaan ringgit.

Menerusi hantaran Facebook Ishaq Marazi, seorang pelabur hartanah, nilai rumah usang tersebut mencecah RM2.5 juta kerana kawasan tanahnya yang luas.

Daripada sekeping gambar yang dikongsikan, kelihatan rumah tersebut sudah dinaiki semak samun dipercayai sudah ditinggalkan terlalu lama.

Menurut pelabur hartanah itu, walaupun nampak rumah itu kecil, namun ia merupakan sebuah rumah berkembar dua setengah tingkat bersaiz 4,458 kaki persegi di atas tanah seluas 13,326 kaki persegi.

Beliau turut menyertakan pelan tanah dan rumah berkenaan. Ternyata ia bersebab mengapa nilai hartanah itu boleh mencecah jutaan ringgit walaupun rumah tersebut sudah usang.

Hasil carian di Google Maps menunjukkan betapa luasnya hartanah tersebut dan masih banyak lagi tumbuhan hijau di rumah belakang.

Difahamkan rumah di Taman Melawati itu berstatus pegangan bebas (freehold) tersebut bakal dilelong bermula RM1.29 juta pada 6 Januari 2025 nanti.

Warganet menyimpulkan harga rumah usang tersebut mahal bukanlah disebabkan rumah itu sendiri, sebaliknya ia disebabkan tapak tanah yang sangat luas di situ.