Rumah sewa lapan pelajar lelaki, tiap hari makan mewah semua masak sendiri, mee segera ‘tak main’, paling ‘rare’ pandai buat kuih koci

Rumah sewa lapan pelajar lelaki, tiap hari makan mewah semua masak sendiri, mee segera ‘tak main’, paling ‘rare’ pandai buat kuih koci

 

Sebut sahaja rumah sewa yang didiami oleh kumpulan pelajar lelaki, pasti ramai terbayangkan mi segera dijadikan sebagai makanan utama.

Namun berbeza bagi geng pelajar lelaki ini di mana rumah sewa mereka ibarat sebuah restoran kerana sering menghidangkan pelbagai jenis masakan, lauk pauk dan pencuci mulut.

Antara yang dinikmati di rumah bujang ini termasuklah ikan siakap tiga rasa, kari ayam, ayam masak merah, sayur kailan ikan masin, bayam tumis air serta ayam pad khra pao dan nasi khao mok yang popular di Thailand.

Kuih-muih yang dimakan pula seperti cucur bawang dan kuih koci, malah sajian Barat seperti spageti aglio olio pun ada!

Salah seorang penyewa, Mohamad Akmal Nizar Ishak berkata, dia bersama tujuh rakan sekelas menyewa di sebuah rumah teres satu tingkat di Sungai Petani, Kedah.

Hampir dua tahun menyewa, pemuda berusia 24 tahun itu memberitahu, ramai menganggap pelajar lelaki yang tinggal menyewa hanya makan mi segera dan tidak memasak.

“Tanggapan mereka silap. Kami selalu masak dan makan macam-macam di rumah sewa. Kami selalu keluar ke pasar raya dan beli barang-barang dapur.

“Kami beramai-ramai kumpul duit dan pergi beli untuk masak banyak kali. Gula, garam, bawang, sos cili, sos tiram termasuk ayam dan ikan tu memang ada,” katanya

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Kewangan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sungai Petani itu berkata, setiap penyewa memainkan peranan masing-masing.

“Bukan semua boleh memasak, di rumah tu yang memasak seramai tiga orang. Tapi lain-lain akan jadi tukang sediakan bahan-bahan di dapur, tolong hidang dan kemaskan selepas makan.

“Kalau bab beli barang dapur pula, kebiasaannya memang kami akan keluar beramai-ramai,” ujarnya yang berasal dari Taiping, Perak.

Mengenai menu, dia yang mesra disapa Akmal berkata, ia tidak tetap dan sentiasa bertukar-tukar setiap hari termasuk pada hujung minggu.

Kebiasaannya, mereka akan makan beramai-ramai pada tengah hari memandangkan lokasi rumah sewa begitu dekat dengan kampus.

Selain masak, kami juga rajin mengemas rumah.

“Setiap kali masak untuk lapan orang. Waktu malam pula masak simple-simple je macam nasi goreng. Hujung minggu, kami masak lebih istimewa seperti nasi ayam dan nasi minyak.

“Ada yang masak sebab teringin atau craving. Macam saya suka makanan-makanan Siam, sebab tu ada nasi khao mok dan ayam pad khra pao,” katanya.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, mi segera bukan menjadi pilihan mereka di rumah sewa tetapi biasanya cuma dimakan selepas tengah malam atau pada hujung bulan.

“Hujung bulan baru makan mi segera sebab tak ada duit sangat. Kami makan apa yang dimasak, paling simple pun nasi putih dan ayam sambal. Apa yang ada di rumah, kami makan sama-sama, cukup-cukup.

“Kami buat rumah sewa macam rumah keluarga dan setiap kali makan ramai-ramai mengeratkan hubungan antara satu sama lain,” katanya yang berterima kasih kepada tuan rumah yang menyediakan kemudahan lengkap untuk memasak.

Selain makan di meja, mereka beramai-ramai juga makan di atas lantai.

Akmal yang kini menjalani latihan praktikal berkata, dia dan rakan-rakannya pasti merindui momen tinggal menyewa dan makan bersama beramai-ramai.

“Memang sangat rindu sebab tu kami buat video throwback sebab sekarang masing-masing tengah buat intern dan tinggal berasingan. Selepas habis belajar, masuk ke dunia pekerjaan pula.

“Persepsi orang ramai akan kata rumah sewa kotor, tak terjamin dan makan pun sendiri. Tapi sebenarnya tidak, selain masak, kami juga rajin mengemas rumah.

“Kadang-kadang kami kongsi gambar dan video kami masak dan keadaan rumah yang dibersihkan dengan tuan rumah. Kita kena jaga hati tuan rumah supaya mereka senang hati untuk menyewa dengan penyewa atau pelajar lelaki selepas ini,” kata Akmal.