‘Rumah rakit’ Pokwe kembali viral, berjaya terapung buat kali ketiga dalam banjir

‘Rumah rakit’ Pokwe kembali viral, berjaya terapung buat kali ketiga dalam banjir

 

‘Rumah rakit’ Pokwe kembali viral, berjaya terapung buat kali ketiga dalam banjir

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam mendedahkan rumah terapung yang dinamakan ‘Rumahku, Rakitku’ berjaya terapung buat kali ketiga daripada dilanda banjir di Kampung Tebak Batu 16, Kemaman.

Dalam perkongsian yang dimuat naik oleh Mohd Hafiz di laman Facebook, beliau meluahkan rasa syukur apabila kediaman milik A. Bakar Che Ahmad, 69, atau lebih mesra disapa Pokwe yang diperbuat daripada kayu itu berjaya diapungkan dengan sokongan 69 biji tong plastik.

“Alhamdulilah, Rumah Terapung Pokwe viral Batu 16, Kampung Tebak, Kemaman terapung dengan jayanya,” ujarnya ketika membuat tinjauan di sekitar kawasan yang terjejas akibat banjir.

Bagaimanapun, Mohd Hafiz mencadangkan agar Pokwe sekeluarga berpindah ke kawasan lebih selamat bagi memudahkan urusan pihak penyelamat menyalurkan bantuan keperluan asas.

“Apa pun, berpindahlah ke tempat yang mudah untuk bantuan sampai,” katanya lagi.

Berjaya terapung buat kali ketiga

Terdahulu, Pokwe menjadi tular di media sosial apabila melakukan inovasi dengan membina rumah terapung yang disiapkan pada 16 September 2022, berkeluasan 9 x 12 meter persegi bagi menggelakkan harta bendanya musnah dilanda bah.

Rumah yang menelan kos berjumlah RM47,000 itu telah berjaya terapung sebanyak tiga kali termasuklah pada tahun 2022 dan 2023.

Rumah yang mampu menahan berat 15 tan metrik itu dibina menerusi wang yang diterima daripada tujuh anaknya telah memudahkan urusan dia sekeluarga kerana tidak perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).