Rosmah Mansor ‘claim’ program Permata Pintar Berjaya, anggap Iz Emir seperti anaknya sendiri
Datin Seri Rosmah Mansor tampil mengucapkan tahniah Iz Emir, remaja berusia 12 tahun yang berjaya mencipta sejarah sebagai mahasiswa termuda di Universiti Malaya.
Difahamkan, Iz kini sedang melanjutkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik di universiti tersebut.
Tulis Rosmah di satu hantaran Facebook, dia berbangga Iz berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti di usia yang cukup muda.
Rasa bangga saya hari ini seolah-olah seperti dia adalah anak saya sendiri. Anak ini memukau saya dengan kecerdasannya semasa pertama kali saya berjumpa dengannya di Permata Pintar. Hari ini saya kembali merasa bangga apabila dia menjadi mahasiswa termuda dalam sejarah UM sejak 1962.
Dalam pada itu, Rosmah turut mengimbau penglibatan Iz dalam program kendaliannya iaitu Permata Pintar yang ditubuhkan pada tahun 2009 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Iz yang pada ketika itu berusia 6 tahun sudah berada di tingkatan 1 di mana ia adalah satu pencapaian yang luar biasa buat kanak-kanak yang berada di usianya.
Remaja itu kemudian menamatkan O-Level ketika berusia 8 tahun menamatkan A-Level pada usia 11 tahun.
Iz Emir juga menerima sijl daripada John Hopkins Centre for Talented Youth sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap kecermalangan dalam akademik.