Pelakon veteran, Roslan Saleh meninggal dunia

Pelakon veteran, Roslan Saleh meninggal dunia

 

Pelakon veteran, Roslan Saleh meninggal dunia

Pelakon veteran, Roslan Saleh, 69, meninggal dunia pada Jumaat.

Berita itu dikongsikan anaknya, Farahanis Roslan menerusi catatan di laman sosial Facebooknya.

“Dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda saya Roslan Saleh baru saja meninggal dunia sebentar tadi.

“Ya ALLAH, ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, ampunilah segala dosa dan kesalahan dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai tempat tinggalnya dan berikanlah kesabaran kepada ahli keluarganya. Semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,” tulisnya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham Roslan akan dibawa ke Masjid Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah untuk dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan yang dijangka selepas solat Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan kesihatan Roslan yang mesra disapa sebagai Pak Lan terjejas akibat penyakit diabetes kronik, kira-kira empat tahun lalu.

Bagaimanapun, kesihatan Roslan tidak banyak berubah sejak terlantar di rumah dan tidak lagi aktif dalam dunia lakonan selepas mengalami masalah kencing manis dan diabetes.

Roslan yang sudah lebih 30 tahun terbabit dalam dunia lakonan pernah membintangi banyak drama dan filem popular antaranya Sembilu 2, Gerak Khas The Movie 2, Munafik 2, Anak Perjanjian Syaitan dan Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda.