“Budak sekarang makin pemalas, tiada kualiti” – Rita Rudaini anggap keputusan mansuh UPSR, PT3 sebagai merepek

“Budak sekarang makin pemalas, tiada kualiti” – Rita Rudaini anggap keputusan mansuh UPSR, PT3 sebagai merepek

 

“Budak sekarang makin pemalas, tiada kualiti” – Rita Rudaini anggap keputusan mansuh UPSR, PT3 sebagai merepek.

Terkesan dengan keputusan kerajaan meneruskan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), pelakon Rita Rudaini menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak relevan.

Rita atau nama lengkapnya Rita Rudaini Mokhtar, 48, yang membangkang keputusan itu memaklumkan bahawa tahap budak zaman sekarang kurang berkualiti.

“UPSR, PT3 tiada? Bagi sifir, bendera-bendera negeri dan tanya mengenai negeri pasti tak tahu jawab.

“Silibus mengarut, sekolah rendah pun dah macam pelajar kolej. Budak-budak sekarang makin menjadi pemalas dan tiada kualiti.

“Kena ambil tuisyen, tambah balik ilmu bagi celik. Bukannya murah,” katanya dalam sebuah hantaran Instagram.

Malah, pelakon filem Mami Jarum itu turut menegaskan guru dan ibu bapa akan sama-sama tertekan apabila saling menunding jari mengenai kelemahan pelajar.

“Bila anak-anak lemah, ibu bapa salahkan cikgu dan cikgu salahkan ibu bapa pula.

“Hujung-hujung, ibu bapa dan cikgu-cikgu yang stres. Merepek sangat.

“Nasib baik zaman saya dulu-dulu belajar pun seronok tiada stres. Tidur pun senyum,” ujarnya.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan iaitu Fadhlina Sidek menegaskan tidak akan berpatah balik dalam keputusan pemansuhan UPSR dan PT3 yang dibuat pada 2021 dan 2022.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas beberapa pihak meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya mengembalikan dua peperiksaan berkenaan.