Ringgit antara 20 mata wang utama dunia

Ringgit antara 20 mata wang utama dunia
Urus niaga dalam denominasi ringgit Malaysia yang rancak akan terus mengukuhkan mata wang tempatan sebagai antara 20 mata wang utama dunia, kata seorang pegawai kanan syarikat pengurusan kekayaan.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, permintaan terhadap urus niaga dalam ringgit akan didorong oleh hubungan perdagangan Malaysia yang kukuh terutamanya dengan China, Singapura dan negara-negara Asia Tenggara yang lain.
Katanya penggunaan ringgit yang meluas dalam penyelesaian mata wang, perjanjian dua hala dan aliran masuk portfolio dalam pasaran bon domestik serta pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan membantu mengekalkan permintaan terhadap mata wang tempatan.
“Ini akan membantu memastikan ringgit terus menjadi tumpuan pada peringkat global,” katanya kepada Bernama hari ini.
Ringgit mengukuh sehingga mencecah paras setinggi 4.1990 berbanding dolar AS pada 5 Mei 2025, meningkat sebanyak 6.2 peratus sejak awal tahun, mencatatkan paras paling kukuh pada 2025.
Setakat ini, mata wang tempatan diniagakan pada 4.2475/2525 berbanding dolar AS.
Innes mengulas laporan oleh Seasia Stats, yang mengumpul data daripada Society for Worldwide Interbank Financial Telecommunication (SWIFT), menyenaraikan ringgit sebagai antara 20 mata wang paling berpengaruh pada peringkat global.
Seasia Stats ialah sebuah halaman media sosial dan platform dalam talian yang berkongsi statistik dan visualisasi data mengenai Asia Tenggara. Ia meliputi pelbagai topik termasuk ekonomi, demografi, budaya, kesihatan dan teknologi.
Innes berkata, perdagangan, terutamanya dalam sektor elektronik dan semikonduktor yang berkembang pesat, produk minyak sawit dan tenaga akan memacu permintaan terhadap ringgit.
“Integrasi kewangan serantau Malaysia juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan penggunaan ringgit pada peringkat global.
“Penggunaan mekanisme penyelesaian mata wang tempatan yang berkembang, disokong oleh perjanjian dua hala dengan Indonesia, Thailand dan China, telah meningkatkan peranan ringgit dalam perdagangan rentas sempadan.
“Dari segi pelaburan, walaupun terdapat turun naik, pasaran bon Malaysia masih menarik aliran masuk portfolio berikutan keupayaannya dan hasil yang agak menarik,” katanya.
Beliau berkata, minat yang berterusan ini membantu mengekalkan permintaan terhadap ringgit dalam kalangan pengurus aset global.
Innes berkata, usaha berterusan Bank Negara Malaysia untuk menaik taraf infrastruktur kewangan dan menggalakkan kesalinghubungan pembayaran digital telah meningkatkan kebolehcapaian dan kecekapan ringgit dalam sistem antarabangsa.
Menurut data Seasia Stats, dolar AS terus mendominasi urus niaga antarabangsa dengan peratusan sebanyak 49.68 peratus, diikuti euro (22.24 peratus), pound Britain (6.51 peratus) dan yen Jepun (4.03 peratus).
Ringgit, bersama-sama forint Hungary dan baht Thailand, melengkapkan senarai 20 mata wang utama, masing-masing menyumbang kurang daripada 0.3 peratus penggunaan global.
Innes berkata, penyertaan ringgit mungkin dalam skala sederhana tetapi ia mencerminkan peralihan yang ketara terhadap kepentingan ringgit pada peringkat serantau.
“Walaupun peratusannya dalam urus niaga global kekal di bawah 0.3 peratus, peranannya dalam senarai tersebut mencerminkan lebih daripada sekadar saiz – ia menunjukkan kedudukan strategik Malaysia dalam rangkaian perdagangan dan kewangan global, terutamanya di Asia Pasifik.
“Ringgit mungkin bukan mata wang rizab utama tetapi ia semakin banyak digunakan dalam penyelesaian perdagangan, aliran modal dan kerjasama mata wang serantau,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, usaha kerajaan untuk menambah baik kedudukan fiskalnya – yang mengurangkan defisit fiskal kepada 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2025 daripada 5.7 peratus dalam tempoh yang sama pada tahun lepas – telah menyokong prestasi ringgit.
Langkah-langkah fiskal utama – termasuk kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus pada 1 Mac 2024 serta rasionalisasi subsidi diesel yang dilaksanakan pada Jun tahun lepas – telah membantu mengukuhkan kewangan kerajaan.
Ini termasuk kutipan SST meningkat sebanyak 30.3 peratus pada suku pertama 2025 serta pengurangan perbelanjaan ke atas subsidi dan bantuan sosial.
“Ini membantu mengukuhkan ringgit apabila pelabur asing dilihat sebagai pembeli bersih dalam pasaran bon kita, terutamanya Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII),” katanya.
Beliau berkata rizab pertukaran asing BNM turut meningkat daripada AS$115.5 bilion pada Januari kepada AS$120 bilion pada akhir Jun, yang terus menyokong pengukuhan ringgit. – Bernama