Ringgit dijangka lebih kukuh berbanding rupiah, baht & won
Ringgit dijangka lebih kukuh berbanding rupiah, baht & won
Ringgit dijangka berprestasi lebih baik berbanding mata wang serantau lain dalam berdepan ketidaktentuan yang dicetuskan perubahan dasar Amerika Syarikat (AS) di bawah pimpinan Donald Trump, kata penganalisis.
Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) berkata, terdapat beberapa faktor utama yang menyokong pengukuhan ringgit berbanding dolar AS seperti kedudukan fiskal yang semakin kukuh, kestabilan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) dan kitaran meningkat pelaburan.
Ia berkata, ringgit berdepan ketidaktentuan luaran dengan kedudukan domestik yang utuh, justeru ia berpotensi mengatasi prestasi sekali lagi pada akhir tahun ini, dengan mata wang akan berakhir 2025 pada sekitar RM4.45 sedolar meskipun terdapat ketidaktentuan yang dijangka tahun ini.
Jelasnya, sejak kemenangan Trump pada Pilihan Raya AS 2024 awal November tahun lalu, mata wang pasaran baharu muncul termasuk ringgit terkesan secara negatif dengan dolar AS, namun kemerosotan nilai ringgit berbanding dolar AS lebih kecil berbanding mata wang serantau lain.
Katanya, dari 4 November 2024 hingga 14 Januari 2025, mata wang tempatan itu telah merosot kira-kira 2.97 peratus berbanding dolar AS, lebih kecil berbanding rupiah yang merosot 3.15 peratus, bhat susut 3.02 peratus, won menyusut 5.84 peratus, dolar Taiwan susut 3.08 peratus dan dolar Singapura merosot 3.43 peratus.
“Pada asas wajaran dagangan atau kadar pertukaran efektif nominal (NEER), ringgit terus mengukuh, mencerminkan prestasinya yang mengatasi berbanding rakan serantau lainnya itu.
“Dari segi tertentu, ringgit boleh dikatakan mempamerkan daya tahan. Terdapat beberapa faktor yang kelihatan menyokong daya tahan ini.
“Sejak pertengahan 2024, ringgit juga sebenarnya masih 4.65 peratus lebih kukuh berbanding dolar AS, manakala berdasarkan NEER ia adalah kira-kira 6.2 peratus lebih tinggi,” katanya dalam nota penyelidikannya.
Maybank IB berkata, Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada paras semasa 3.00 peratus, sekali gus mengehadkan kesan perbezaan hasil antara Malaysia dan AS.
Katanya, situasi itu menyokong ringgit untuk berada dalam kedudukan yang baik berbanding mata wang serantau berikutan perbezaan hasil yang lebih baik berbanding AS.
Seterusnya, ia berkata, kedudukan fiskal negara berada dalam landasan pengukuhan, sekali gus positif untuk menyokong selera pelabur asing terhadap Malaysia.
“Oleh itu, kitaran meningkat pelaburan, didorong oleh pelaburan langsung asing (FDI) adalah faktor yang menyokong mata wang,” katanya.
Namun, Maybank IB menyedari bahawa terdapat beberapa faktor yang membimbangkan yang dihadapi oleh ringgit, tetapi yang penting terdapat juga had mengenai berapa banyak kesan yang boleh diberikan kepada mata wang.
Ia berkata, di rantau ini, ringgit mempamerkan sedikit kelemahan kepada dasar perdagangan Trump memandangkan Malaysia mempunyai salah satu pendedahan perdagangan tertinggi di rantau ini dengan eksport membentuk 68.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023, meletakkan Malaysia pada risiko gangguan perdagangan global yang disebabkan oleh tarif Trump.
Selain itu, katanya, negara juga mengekalkan lebihan perdagangan dengan AS pada sekitar 4.4 peratus daripada KDNK pada 2023, menjadikannya lebih tinggi berbanding negara serantau lain.
Jelasnya, ringgit juga mempamerkan sensitiviti kepada renminbi, mencerminkan keterbukaan perdagangan dan kepelbagaian rakan perdagangan.
Walau bagaimanapun, Maybank IB menjelaskan, sementara pergantungan perdagangan ringgit mendorong pergerakan turun naik tidak menentu, pihaknya juga mendapati terdapat had terhadap kesan faktor itu.
Ia berkata, perkembangan positif utama baru-baru ini ialah Malaysia telah dikeluarkan daripada senarai pemantauan Perbendaharaan AS bagi ‘manipulator mata wang’ seperti dalam laporan dwi-tahunan terbarunya pada November 2024.
“Laporan itu menyatakan bahawa Malaysia hanya melanggar satu daripada tiga kriteria yang akan diletakkan pada senarai itu dalam dua laporan sebelumnya,” katanya.
Sementara itu, Maybank IB berkata, bank pusat China People’s Bank of China (PBOC) telah berikrar untuk menstabilkan mata wang negara itu, dan setakat ini pada Januari, renminbi berbanding dolar AS kekal stabil di sekitar paras 7.3500.
“Ia nampaknya membantu ringgit bulan ini. Pergerakan menaik dolar AS berbanding renminbi tidak diketepikan tetapi keteguhan PBOC untuk menstabilkan harus meletakkan had pada kesan limpahan daripada renminbi kepada ringgit,” katanya.