Ridhuan Tee tegur pelakon Melayu, gatal macam tak pernah masuk TV!

Ridhuan Tee tegur pelakon Melayu, gatal macam tak pernah masuk TV!

 

SELEPAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menegur aksi panas Zul Ariffin, kini penceramah bebas iaitu Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah turut kesal dengan aksi pelakon berkenaan.

Ridhuan yang juga merupakan Profesor di Pusat Pengajian Teras (PPT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata dia tidak menyangka seorang pelakon beragama Islam tergamak melakonkan aksi jijik sedemikan tanpa rasa malu.

“Kenapa pelakon kita gatal sangat? Macam tak pernah masuk TV dan macam tak pernah berlakon. Takkan selaku orang Melayu tak tahu cara budaya hidup sendiri… kalau bukan orang Islam yang buat, saya tak hairan sangat.

“Saya naik geli dan nak muntah apabila melihat adegan panas pelakon tanah air beragama Islam yang sanggup melakonkan babak berkenaan, seolah-olah kita ini pelakon barat.

“Jika kamu ada anak, isteri atau suami, kamu tak rasa malu ke mereka tengok suatu hari nanti? Di mana adab budaya sebagai seorang Islam dan yang penuh dengan kelembutan Melayu?

“Elok mereka ini hantar CV (resume) ke Korea atau Amerika Syarikat untuk menjadi pelakon di sana supaya lebih international,” katanya kepada mStar.

Ridhuan berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pelakon Zul Ariffin berkongsi sedutan babak panas bersama aktres Siti Hariesa dalam drama Perempuan Itu.

Sementara itu, Ridhuan turut menegur pengarah drama berkenaan kerana tidak sensitif dan berani membawa masuk budaya barat dalam karya arahan mereka.

“Sama ada akan disiarkan atau tidak itu lain cerita. Masalahnya di mana adab budaya kita. Kalau filem orang putih masih boleh terima lagi, ini filem Melayu. Pengarah pun satu hal, orang Melayu juga.

“Berpada-padalah dalam mengarahkan anak buah untuk berlakon. Kita ini orang negara timur bukan barat. Kita ada adab!” katanya.

Dalam pada itu, Ridhuan mencadangkan supaya mereka yang terlibat dengan industri kreatif mengambil kursus berkaitan budaya dan adab.

Ini memastikan industri hiburan kita tidak terpesong dan terpengaruh dengan budaya luar yang bertentangan dengan agama dan norma hidup orang Melayu.

“Saya syorkan supaya semua mereka yang terlibat dalam proses penerbitan filem drama diwajibkan mengikuti kursus adab sopan, tatacara adat budaya timur dan kursus asas penerbitan Islam.

“Kita tidak mahu nanti, filem atau drama kita sama seperti apa yang berlaku di barat dan Korea. Semua perkara itu tidak mustahil berlaku kerana bibit-bibit itu telah pun di rasai.

“Saya cukup hairan, kenapa filem dan drama kita tidak ada identiti dan jati diri berbanding negara lain. Kenapa kita terlalu kebaratan?” ujarnya.

Pada Jumaat lalu, Instagram Zul diserang netizen selepas dia memuat naik babak panas drama lakonannya itu di laman sosial berkenaan.

Video memperlihatkan Zul mendukung Siti Hariesa dari depan dianggap keterlaluan dan tidak sesuai untuk tayangan masyarakat di negara ini.

Bagaimanapun, pengarahnya iaitu Ain Sharif menjelaskan adegan yang bocor itu merupakan rakaman kedua yang mungkin tidak ditayangkan di televisyen dan hanya untuk tujuan publisiti.