‘Rider’ makanan simpan wang lebih RM200k dalam masa empat bulan

‘Rider’ makanan simpan wang lebih RM200k dalam masa empat bulan

 

Seorang pesohor media sosial di Amerika Syarikat (AS) berjaya menyimpan wang lebih AS$51,188 (RM215,860) dalam masa hanya empat bulan untuk membeli rumah, lapor akhbar The Mirror UK kelmarin.

Michael Hickey, 24, berkata, dia hanya bekerja sebagai penghantar makanan dan tidur di dalam kereta untuk berjimat.

“Saya meletakkan kenderaan di hadapan sebuah kasino, tetapi saya perlu mencari tempat lain untuk tidur selepas dihalau.

“Saya bekerja sebagai penghantar makanan selama 10 jam dan menjana pendapatan sekitar AS$300 (RM1,265) dalam sehari.

“Saya hanya membelanjakan sedikit daripada jumlah itu untuk petrol dan makanan,” kata Hickey.

Tambah Hickey, pendapatan sebenarnya adalah daripada media sosial yang berjumlah AS$627  (RM2,644).

“Saya menerima bayaran sebanyak AS$385 (RM1,624) daripada YouTube, AS$114 (RM481) di TikTok, Facebook AS$63 (RM266) manakala Instagram mencecah AS$65 (RM274),” tambahnya.

Hickey mahu membina sebuah rumah kecil di Florida dan memerlukan sekurang-kurangnya AS$60,000 (RM253,020) untuk membeli tanah, memasang pendawaian elektrik, paip  air dan  lain-lain.