“Ia melibatkan maruah” – Nama kena petik kes pelawak disyaki rogol gadis, ini respon Tauke Jambu

“Ia melibatkan maruah” – Nama kena petik kes pelawak disyaki rogol gadis, ini respon Tauke Jambu

 

“Ia melibatkan maruah” – Nama kena petik kes pelawak disyaki rogol gadis, ini respon Tauke Jambu

Pelawak Tauke Jambu terkilan apabila mengetahui namanya dikaitkan dengan berita tular mengenai pelawak yang ditahan polis selepas disyaki merogol seorang gadis pada Khamis.

Terkejut dikaitkan dengan perbuatan jenayah itu, Tauke atau Zamatul Amri Zakaria, 48, memilih untuk tidak melatah dan kekal tenang berdepan tuduhan netizen itu.

“Individu tersebut bukan saya. Saya dapat tahu kes ini selepas ada netizen yang tag saya di media sosial.
“Saya sebenarnya tak tahu nak komen apa, tapi jika tuduhan itu agak melampau ia sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada saya.

“Saya bukan nak cakap saya ini penyabar tetapi saya terpaksa reda dan terima sahaja apabila orang mengaitkan nama saya. Saya pun dah malas nak bising-bising.

“Bila usia makin meningkat ini, saya hanya nak fikir baik-baik sahaja. Mungkin yang berlaku ini semuanya ada hikmah dan saya pun faham tak semua orang suka dengan kita,” katanya ketika dihubungi mStar.

Mengakui kontroversi dilemparkan itu mampu memberikan kesan buruk terhadap kerjaya seninya, Tauke menasihati masyarakat supaya tidak terburu-buru membuat tuduhan tanpa sebarang usul periksa.

“Kesannya sebagai selebriti, periuk nasi (tawaran kerja) pun terjejas juga. Kalau perkara-perkara tak baik (kontroversi) ini berlaku, ia akan memberi kesan kepada kerjaya kami. Tapi tak mengapa saya yakin rezeki itu daripada Allah.

“Saya nak nasihatkan kepada netizen, setiap kali keluar sesuatu berita mereka kena bijak untuk menilai. Jangan terus menghukum dan menuding jari ke arah seseorang, dapatkan maklumat sahih terlebih dahulu,” ujarnya.

Sementara itu, Tauke tidak menolak namanya dikaitkan dengan isu berkenaan mungkin disebabkan dia pernah terlibat dengan beberapa kontroversi sebelum ini.

“Kalau lihat daripada kes dulu, bila keluar sahaja berita semua orang terus menghukum sedangkan saya tidak buat pun kesalahan itu.

“Walaupun tidak bersalah, netizen masih lagi pandang negatif kepada saya dan sehingga kini masih terpalit dengan cerita-cerita kurang baik.

“Kesannya memang sangat besar kerana ia melibatkan maruah dan memberi impak kepada saya,” ujarnya.

Pada Khamis kecoh berita seorang pelawak ditahan polis selepas dipercayai merogol seorang gadis berusia 20-an.

Suspek merupakan bekas peserta sebuah program realiti komedi.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, suspek merupakan lelaki berusia lingkungan 40-an dan dia ditahan di sekitar bandar raya Johor Bahru pada awal pagi Khamis.

Suspek telah dikenakan reman selama lima hari bermula Khamis hingga 2 Disember depan.