Wanita dakwa kena renjatan elektrik di mesin tiket parkir

Wanita dakwa kena renjatan elektrik di mesin tiket parkir
Seorang wanita mendakwa terkena kejutan elektrik ketika menggunakan mesin tiket tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah terkenal.
Dalam hantaran di Facebook, mangsa berkata dia meletakkan kenderaannya di hadapan mesin tersebut dan menghulurkan tangan ke arah sensor untuk mengambil tiket.
Walaupun belum menyentuh mesin itu, dia tiba-tiba menerima kejutan elektrik sehingga mengalami kebas pada lengan yang kemudian merebak ke kepala dan kaki.
Mangsa berkata dia turut pengsan di tempat kerja pada keesokan harinya.
“Selepas kejadian itu, saya terpaksa berulang-alik ke hospital beberapa kali. Kemudian saya dapat tahu saya bukan mangsa pertama.
“Malah, kawan saya pernah nampak asap keluar dari mesin tersebut sebelum ini,” dakwanya.
Dalam pada itu, pihak pengurusan pusat beli-belah di kawasan Bang Na, Bangkok, Thailand itu turut memuat naik permohonan maaf di Facebook pada 16 Jun.
Pada 17 Jun, pihak pusat beli-belah itu mengesahkan pasukan kejuruteraan mereka tidak menemui sebarang litar pintas atau masalah operasi pada mesin tiket berkenaan.
Kejadian dipercayai berpunca daripada elektrik statik.
Pihak pengurusan turut berjanji untuk mempertingkatkan langkah keselamatan termasuk memasang peranti anti-statik dan menjalankan pemeriksaan berkala ke atas semua mesin di premis mereka
Apa punca kejutan elektrik statik?
Menurut laman sesawang Fyre Electric Inc, kejutan statik bukanlah kejutan elektrik sebenar seperti menyentuh wayar hidup, tetapi ia adalah proses semula jadi untuk mengimbangi cas negatif (elektron) dan positif (proton) antara dua bahan.
Apabila dua bahan bersentuhan, sebahagian daripada cas akan bergerak dan berpindah daripada satu bahan ke bahan yang lain.
Pergerakan ini boleh menyebabkan lebihan cas positif pada satu objek dan cas negatif pada yang satu lagi.
Apabila kedua-dua bahan itu dipisahkan, setiap satu akan menyimpan cas yang berbeza.
Jika badan anda mengandungi lebihan cas tersebut, dan anda mendekati objek dengan cas bertentangan, ia boleh menyebabkan percikan (spark) melonjak keluar atau masuk ke badan anda.
Kulit kering dan pakaian sintetik adalah antara punca utama pembentukan cas statik.
Bahan-bahan lain yang bergesel antara satu sama lain, seperti kasut anda yang bergesel dengan karpet sintetik, boleh mencetuskan perubahan cas melalui electrostatic induction (induksi elektrostatik).
Contoh lain ialah apabila anda keluar dari kereta yang mana geseran antara tempat duduk dan pakaian boleh menghasilkan cas elektrik.