Remaja 17 tahun hilang di Hulu Selangor ditemui di Pahang, penganggur ditahan

Remaja 17 tahun hilang di Hulu Selangor ditemui di Pahang, penganggur ditahan

 

Pada 24 Julai lalu, berita kehilangan seorang remaja perempuan tular di media sosial, Nurul Aishah Farhana Azni yang berusia 17 tahun itu dilaporkan hilang di sekitar Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor.

Terbaru, remaja itu telah ditemui selamat dalam sebuah rumah yang terletak di Triang, Pahang semalam.

Seorang lelaki berusia 20-an telah ditahan polis untuk membantu siasatan, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus, berkata suspek ditahan di kawasan Triang, Pahang, kira-kira 12.30 tengah malam tadi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.

“Siasatan mendapati suspek dipercayai melarikan mangsa yang berdepan dengan masalah keluarga.

Ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah selain tiada rekod lampau jenayah atau dadah,”  katanya.

Difahamkan, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk menjalani pemeriksaan.

Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 27 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.