DUN Perak lulus usul gantung Razman Zakaria enam bulan

DUN Perak lulus usul gantung Razman Zakaria enam bulan

 

DUN Perak lulus usul gantung Razman Zakaria enam bulan

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan usul untuk menggantung Ketua Pembangkang, Razman Zakaria daripada menghadiri persidangan DUN selama selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta.

Usul tersebut dibentangkan Ong Boon Piow (PH-Bercham) yang kemudiannya disokong Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) ketika Sidang DUN Perak di sini pada Rabu.

Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol itu dikenakan tindakan berkenaan selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada 4 Disember 2024.

Keputusan penggantungan itu diumumkan Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid selepas majoriti anggota DUN pada persidangan hari ini bersetuju terhadap usul memperakukan laporan jawatankuasa berkenaan yang bersidang pada 14 April 2025.

Razman dikenakan tindakan bagi pertuduhan ketiga kerana didakwa sewaktu berucap pada 2 Disember 2024 telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan hasutan serta telah menimbulkan perasaan sakit hati di bawah Peraturan 40 (11)(b) dan (c) Perintah-Perintah Tetap.

Bagi pertuduhan pertama pula digugurkan manakala jawatankuasa tersebut menerima permohonan maaf bagi pertuduhan kedua dengan amaran tidak mengulangi semula.

Razman (dua dari kiri) diperintah keluar Dewan selepas digantung selama enam bulan daripada menghadiri persidangan DUN Perak berkuat kuasa serta merta. Foto:Pejabat Menteri Besar Perak

Sementara itu, nasib seorang lagi ADUN, Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PH-Hulu Kinta) pula sebaliknya apabila jawatankuasa menerima permohonan maaf secara bertulis dikemukakan dan hanya perlu menarik semula penggunaan perkataan ‘penjilat’ tanpa mengulanginya di dalam Dewan.

Pada 4 Disember lalu, DUN Perak meluluskan usul membawa Razman kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri selepas beliau didakwa membuat kenyataan tidak benar pada 2 Disember.

Keputusan itu dibuat Mohammad Zahir selepas usul dibawa ADUN Astaka, Jason Ng Thien Yeong dipersetujui.

Sebelum itu, Jason bangkit dan memaklumkan Ketua Pembangkang DUN itu telah mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung insiden bendera Negara China dikibarkan di Teluk Intan.

Katanya, pada 2 Disember 2024 semasa Persidangan Kedua, Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua, Dewan Negeri Perak ke-15 Razman sewaktu berucap telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan hasutan serta telah menimbulkan perasaan sakit hati di bawah Peraturan 40 (11)(b) dan (c) Perintah-Perintah Tetap.

Mohammad Zahir pula berkata, berdasarkan kepada Perintah Tetap Peraturan 40 (3) (a) dan (b), beliau merasakan ada merit kepada usul tersebut dan bersetuju untuk merujuk Razman ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Perak.