Ramly Burger tangguh naikkan harga produk selepas dipanggil KPDN

Ramly Burger tangguh naikkan harga produk selepas dipanggil KPDN
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memanggil pihak pengurusan syarikat makanan sejuk beku popular, Ramly Burger susulan tular dakwaan mengenai kenaikan harga produk mereka yang mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, syarikat terbabit telah bersetuju untuk menangguhkan kenaikah harga produk mereka buat sementara waktu.
Menurut Malaysiakini, dalam satu pertemuan pada Selasa lalu, Ramly Burger telah memberikan penjelasan lanjut mengenai isu berkenaan.
Syarikat berkenaan menjelaskan bahawa perubahan harga itu tidak berkaitan dengan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebaliknya, dilakukan berdasarkan penyelarasan kos operasi secara keseluruhan.
“Kita telah keluarkan notis di bawah Seksyen 21 bagi mendapatkan maklumat daripada syarikat Ramly Burger berkaitan apakah asas kenaikan harga itu.
“Syarikat itu telah memaklumkan pada 1 Julai bahawa mereka menangguhkan terlebih dahulu kenaikan kepada harga tersebut kepada satu tarikh yang akan diumumkan,” kata Armizan.
Katanya lagi, syarikat berkenaan telah diberikan nasihat sewajarnya dan disarankan merujuk dengan Bahagian Penguat Kuasa KPDN sebelum menaikkan harga produk masing-masing.