Raja Ema dan anak-anak seikhlas hati maafkan arwah Sheqal

Raja Ema dan anak-anak seikhlas hati maafkan arwah Sheqal

 

Raja Ema dan anak-anak seikhlas hati maafkan arwah Sheqal

Artis popular era 1980-an, Raja Ema Raja Ibrahim, 56, memaafkan bekas suaminya, Allahyarham Sheqal yang menghembuskan nafas terakhirnya, jam 12.31 tengah hari, hari ini.

Raja Ema dalam hantaran di Facebook berkata, dia dan anak-anak turut menghalalkan segala-galanya.

“Saya dan anak-anak dengan seikhlas hati menghalalkan dan memaafkan semuanya. Moga arwah ditempatkan bersama orang beriman dan para solihin. Amin Ya Rabb,” tulisnya.

Sebelum itu, Raja Ema turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas pemergiannya itu.

Media sebelum ini melaporkan isteri Allahyarham, Normah Mohd Yusoff, 58, mengharapkan dua anak Sheqal bersama Raja Ema iaitu Putera Ammar dan Putera Al-Kasyah menziarahi bapa mereka ketika hayatnya masih ada.

Normah berkata, sejak berkahwin dengan penyanyi itu 25 tahun lalu, dia tidak pernah melihat mereka bertemu antara satu sama lain di mana-mana lokasi.

Bagaimanapun, Raja Ema memaklumkan dia tidak pernah menghalang dua anaknya itu bertemu bekas suaminya.

Malah, Raja Ema juga tidak menghalang mereka menziarahi Sheqal yang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan.

Bagaimana, tiada seorang daripada ahli keluarga penyanyi balada nusantara itu menghubunginya.

Katanya, dia sudah meminta adiknya, Raja Izat supaya bersedia untuk membawa Putera Ammar dan Putera Al-Kasyah menziarahi Allahyarham sekiranya sudah dihubungi pihak sebelah sana, namun tiada sebarang berita dari keluarga bekas suaminya.

Sheqal atau nama sebenarnya, Shaharim Salehuddin, 60, meninggal dunia di HTJ.

Sheqal dimasukkan ke HTJ pada 4 Jun dan ditidurkan pada 6 Jun lalu.

Raja Ema dan Sheqal berkahwin pada 1993, namun mereka bercerai pada 1999.