“Gayat tengok..” – Rakaman pekerja bersihkan puncak tertinggi Menara KLCC buat ramai meremang
“Gayat tengok..” – Rakaman pekerja bersihkan puncak tertinggi Menara KLCC buat ramai meremang.
Setiap kali terlihat Menara Berkembar Petronas (KLCC) terutamanya pada waktu malam, mesti ramai yang kagum melihat kecantikan bangunan tersebut kan?
Malah, mercu tanda kebanggaan rakyat Malaysia itu juga sering menjadi lokasi tumpuan pelancong apabila melawat ke negara ini.
Tapi pernah tak korang terfikir, siapa yang bersihkan bangunan ini agar ia kekal gah dan cantik meskipun sudah dikelilingi dengan debu, asap dan sebagainya?
Menerusi video dimuat naik oleh seorang jurugambar di laman TikTok (@siva_wwc6), ia memperlihatkan keberanian dua orang pekerja memanjat puncak Menara Berkembar KLCC.
Dalam video tersebut, mereka dilihat memanjat tangga pada puncak KLCC berketinggian 88 tingkat itu lengkap dengan memakai alat keselamatan.
Difahamkan, dua pekerja terbabit ditugaskan untuk membersihkan puncak tertinggi menara bangunan tersebut.
Bayangkan perlu berdiri pada ketinggian 451.9 meter sambil perlu membetulkan tali keselamatan dan melakukan kerja pembersihan pula pada waktu yang sama, memang tabik sungguh.
Kami yang tengok pun dah boleh rasa gayatnya!
Video tersebut juga telah menarik perhatian ramai selepas ia meraih 2.3 juta tontonan di TikTok ketika artikel ini ditulis.
@siva_wwc6 Capturing a breathtaking moment as brave workers scale the heights of KLCC for maintenance! 🏗️💪 The courage and dedication it takes to work at such an altitude is truly inspiring. Hats off to these heroes who keep our iconic skyline shining! 🌆✨
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum melihat keberanian dua orang pekerja ini yang memanjat puncak KLCC demi tugasan kerja.
Malah ramai yang berkongsi perasaan sama apabila mereka pula yang berasa gayat melihat ketinggian yang dipanjat oleh pekerja-pekerja tersebut.
“Dia yang panjat, aku yang lemah lutut,” ujar pengguna TikTok.
Namun, ada yang terfikir bagaimana tali keselamatan itu dipasang sebelum mereka tiba di puncak bangunan.
“Tak sekarang ni macam mana dia letak tali sebelum dia naik ke atas tu,” soal netizen.
Disebabkan perlu berdepan dengan pelbagai risiko, masyarakat juga tertanya-tanya jumlah gaji yang diterima oleh mereka.
“Berapa yang agaknya gaji mereka. Apa-apa pun semoga dipermudahkan segala urusan pekerjaan mereka dan semoga Tuhan sentiasa melindungi mreka dari malapetaka,” kata seorang pengguna media sosial.
Terdahulu, pernah tular satu video di mana seorang wanita yang digelar sebagai ‘Iron Lady’ juga dilihat memanjat puncak KLCC untuk menukar lampu.
Individu di sebalik gelaran ‘Iron Lady’ ini merupakan seorang wanita bernama Normalia Sidek yang berani menceburkan diri dalam bidang kerjaya didominasi oleh kaum lelaki.
Kalau anda nak tahu, kerjaya sebagai seorang Juruteknik Akses Tali (Rope Access) ini tersenarai dalam 10 profesion paling berisiko di dunia.
Kalau anda perasan, sesekali itu memang akan ada orang ‘tergantung’ di menara tinggi dan mereka dilihat sedang mencuci tingkap. Kita yang tengok pula gayat ya.
Tetapi sebenarnya kerjaya sebagai juruteknik akses tali ini bukan hanya sekadar membersihkan cermin tingkap, skop tugas mereka lebih luas termasuklah melakukan kerja-kerja Ujian Tanpa Musnah (NDT).