Tiada persefahaman punca isteri Fikry Ibrahim fail cerai

Tiada persefahaman punca isteri Fikry Ibrahim fail cerai
Peguam syarie mewakili Siti Khalizah Alihan iaitu Wan Muhammad Afiq Mohd Razib memaklumkan anak guamnya yang juga isteri kepada pengacara dan pelakon, Fikry Ibrahim memfailkan perceraian ekoran tiada persefahaman.
Wan Muhammad Afiq yang ditemui selepas selesai sebutan pertama tuntutan dan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, jam 10.50 pagi tadi berkata, prosiding akan bersambung pada 10 September depan.
“Pagi ini adalah sebutan kali pertama untuk permohonan cerai difailkan oleh anak guam, Siti Khalizah. Untuk sebutan pagi ini defendan (Fikry) tidak hadir. Kami juga sudah serahkan surat saman di bawah Seksyen 47 kepada defendan. Defendan sendiri terima surat saman berkenaan.
“Jadi, hari ini kami mohon satu tarikh tangguhan yang agak panjang untuk pihak-pihak mencapai kata sepakat untuk perdamaian. Ia juga untuk memberi ruang kepada pihak-pihak berbincang.
“Plaintif masih mahu berbincang untuk perdamaian dan sekarang, masih ada ruang untuk ke arah kebaikan,” katanya kepada BH Online.
Sementara itu, Siti Khalizah yang kelihatan sayu enggan mengulas lanjut mengenai permohonan cerai di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang dibuat pada Mei lalu.
“Minta maaf, saya tak boleh komen apa-apa sekarang,” katanya ringkas sambil bergegas berlalu ke parkir kereta.
Terdahulu, media melaporkan selepas empat bulan mendirikan rumah tangga, Siti Khalizah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Siti Khalizah selaku plaintif yang memakai jubah berona hitam hadir ke dewan bicara pada jam 9.40 pagi, manakala Fikry selaku defendan tidak kelihatan di mahkamah.
Sebutan tuntutan dan permohonan perceraian dijadualkan berlangsung jam 9 pagi berlaku di hadapan hakim syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin.
Terdahulu, Fikry dan Siti Khalizah mendirikan rumah tangga di Jitra, Kedah pada 12 Februari lalu.
Pernikahan berlangsung secara tertutup, namun ia tersebar apabila jurusolek berkongsi beberapa foto memperlihatkan Fikry dan Siti Khalizah dinikahkan.