Tiga maut bot terbalik di Pulau Perhentian

Tiga maut bot terbalik di Pulau Perhentian

 

Tiga maut bot terbalik di Pulau Perhentian

Sebuah bot pelancong yang membawa 15 penumpang termasuk kanak-kanak terbalik di perairan Pulau Perhentian akibat ombak kuat dan cuaca buruk, malam tadi, lapor BuletinTV3.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.00 malam itu bot yang dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil menuju ke Pulau Perhentian Besar dipercayai hilang kawalan dan terbalik di 0.05 batu nautika berhampiran sebuah resort.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden tersebut melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan pada pukul 10.55 malam, sebelum Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada pukul 11.17 malam.

“Bot Peronda Maritim Malaysia terus diatur gerak ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan”.

“Setiba di lokasi kejadian, kesemua mangsa telah berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung yang bertindak pantas memberikan bantuan,” katanya.

Insiden tragis itu melibatkan sembilan orang dewasa membabitkan empat wanita dan lima lelaki, berusia antara 19 hingga 57 tahun serta enam orang kanak-kanak berusia lingkungan tiga hingga 11 tahun.

Dua kanak-kanak iaitu kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, serta seorang lelaki dewasa turut disahkan meninggal dunia.

Terdahulu, bot yang membawa kesemua mangsa dipercayai terbalik akibat keadaan laut bergelora dan cuaca buruk yang melanda kawasan perairan itu malam tadi.

Kesemua mangsa yang terselamat kemudiannya telah dibawa ke Jeti Pelancong Besut menggunakan Bot Maritim PENGGALANG 45 sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Maritim Malaysia akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta memastikan aspek keselamatan pengangkutan laut terus dipertingkatkan,” ujarnya.

Kejadian ini sekali lagi menjadi peringatan betapa pentingnya aspek keselamatan dilaut, khususnya ketika cuaca tidak menentu.

Maritim Malaysia menyeru semua pengusaha bot pelancongan dan pelancong agar sentiasa mematuhi arahan keselamatan, memakai jaket keselamatan dan memeriksa ramalan cuaca sebelum memulakan perjalanan.