Pulang dari Mekah, suami menangis terduduk dapat tahu isteri meninggal dunia 14 hari lepas

Pulang dari Mekah, suami menangis terduduk dapat tahu isteri meninggal dunia 14 hari lepas

 

Setiap insan yang mendirikan rumah tangga pasti menginginkan mahligai yang dibina berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Sejak dari awal lagi, masing-masing mengikat janji bahawa hanya kematian sahajalah yang akan menjadi pemisah kepada hubungan yang dibina.

Begitupun, tiada sesiapa pun sebenarnya bersedia untuk berpisah dengan orang kita kasihi apabila tiba masanya ajal menjemput.

Apatah lagi jika kita tidak berada di sisi orang yang kita cintai itu saat perpisahan berkenaan terjadi.

Itulah situasi yang terpaksa dilalui oleh seorang warga emas di Indonesia apabila disambut dengan khabar duka pemergian isterinya setelah tiba di tanah air dari Kota Suci Mekah.

Menerusi video yang dimuat naik oleh @kelincii_putih, dia berkongsi suasana hiba saat ayahnya diberitahu bahawa ibu mereka telah pergi buat selama-lamanya.

Lebih memilukan, si ayah sempat meninjau-ninjau di dalam rumah, mencari si isteri sebelum berita berkenaan dikhabarkan kepadanya.

Bagaimanapun, sebaik sahaja diberitahu isteri tercinta sudah pun pulang ke negeri abadi 14 hari sebelum kepulangannya, si ayah langsung terduduk lemah sambil menitiskan air mata.

Menurut @kelincii_putih, pasangan suami isteri itu sepatutnya ke tanah suci bersama-sama. Namun tempat si ibu telah digantikan oleh adik bongsunya kerana faktor kesihatan ibu mereka yang tidak mengizinkan.

Sebelum pulang ke tanah air, ayah mereka ada bertanya tentang keadaan si ibu, namun mereka anak beranak tidak dapat memberitahu situasi sebenar.

Keadaan fizikal dan kesihatan bapa mereka menjadi sebab kematian itu disembunyikan dari pengetahuannya buat sementara waktu.

Bagaimanapun, pemergian ibu mereka telah dimaklumkan kepada adik bongsu yang menemani si ayah.

Hal ini kerana, adik bongsu itu sebenarnya menjadi perantaraan untuk mereka berhubung kerana si ayah tidak pandai menggunakan telefon bimbit.

Sebelum kematiannya, si ibu sempat mengadakan panggilan video dengan adik bongsu dan berbual dengan ayah mereka.

Malah, Allahyarham juga ada meminta dibelikan telekung sebagai cenderahati dari tanah suci.

@kelincii_putih

14 hari kepergian mama,bapa baru dikasih tau setelah sampai dari tanah suci mekah alfatihah

♬ suara asli – Ziell Ferdian – Ziell Ferdian

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok turut tumpang bersedih melihat keadaan warga emas tersebut dan ramai mendoakan agar beliau menjadi kuat menghadapi ujian ini.

“Ini betul-betul sakit tak berdarah,” komen seorang wargamaya.

“Sebak tengok pakcik menangis, semoga pakcik tabah, kuat dan sihat,” komen lagi seorang wargamaya.