Hampir separuh peminjam PTPTN tidak bayar balik pinjaman adalah penerima STR
Hampir separuh peminjam PTPTN tidak bayar balik pinjaman adalah penerima STR.
Seramai 189,580 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tidak pernah membuat bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, jumlah tersebut merangkumi 45.7 peratus daripada 415,109 peminjam yang tidak pernah membuat bayaran balik berdasarkan data peminjam sedia ada.
Kata beliau, baki peminjam berkaitan iaitu 225,529 orang pula merupakan bukan kumpulan penerima STR.
“Bagi tempoh sama sehingga 31 Ogos lalu, seramai 1,710 peminjam di bawah Parlimen Jerantut tidak pernah membuat bayaran balik pinjaman mereka iaitu berjumlah RM38.17 juta,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang memintanya menyatakan daripada 430,000 peminjam, berapa ramai tidak pernah membuat sebarang pembayaran balik.
Terdahulu, media melaporkan, PTPTN akan mengambil tindakan terhadap 430,000 peminjam yang tidak pernah membayar hutang membabitkan sebanyak RM6 bilion.
Zambry sebelum ini dilaporkan berkata, sikap tidak bertanggungjawab pihak terbabit mengakibatkan kedudukan kewangan PTPTN kini berada di tahap membimbangkan.
Katanya, sebahagian daripada peminjam itu didapati sudah bergraduasi sejak berpuluh tahun lalu dengan ada diantaranya gagal membuat pembayaran walau satu sen pun.
“Ini kategori yang tak peduli sejak hari pertama dia keluar (dari universiti), dia tak maklumkan keadaan dia, di mana dia bekerja, bagaimana dia nak (buat pembayaran semula), sepatutnya perlu bincang. Mereka tak peduli langsung untuk bayar.
“Kita sudah pun membuat perbincangan secara mendalam di peringkat Kabinet untuk langkah seterusnya.
“Saya tidak menafikan langkah susulan yang akan diambil terhadap mereka ini termasuk tindakan undang-undang,” katanya.