Pelanggan gaji RM1.9k mahu Proton S70, yang ‘income’ RM5k nak Saga standard je

Pelanggan gaji RM1.9k mahu Proton S70, yang ‘income’ RM5k nak Saga standard je
Ramai sering terlupa satu perkara penting dalam membuat keputusan, iaitu menilai kemampuan diri sendiri.
Pepatah ukur baju di badan sendiri juga mengingatkan kita supaya sedar batas kemampuan kewangan agar tidak terbeban dengan hutang di kemudian hari.
Di Thread, seorang ejen jualan kereta meraih perhatian ramai selepas berkongsi kisah dua pelanggannya yang memiliki kemampuan kewangan berbeza.
“Tadi terjumpa (pelanggan) gaji bersih RM1,900, tiada lesen, nak ambil kereta Proton S70.
“Pelanggan gaji RM5,000, komitmen bawah RM1,000 ambil kereta bulanan bawah RM500 je.
“Aku sampai double confirm betul ke nak ambil Saga standard? Korang nak beli kereta ikut poket, jangan ikut selera,” tulisnya.
Ejen tersebut turut berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp dengan salah seorang pelanggannya yang mahu membeli Proton Saga.
“Iya (nak ambil Saga standard). Basic je cik. Zaman sekarang ‘keras’ cik,” tulis pelanggan itu.
Menurut ejen itu lagi, kebanyakan pelanggan yang bergaji besar lebih suka membeli kereta biasa-biasa.
“Selalunya pelanggan yang gaji ‘meletop’ ni dia tahu berfikir berbanding yang biasa. Tapi tu la, susah nak cakap,” tulisnya lagi.
Perkongsian berkenaan meraih pelbagai reaksi netizen termasuklah golongan bergaji tinggi yang memilih untuk membeli kereta biasa.
“Saya gaji RM7,000 sebulan tapi baru ambil Axia sebab nak yang murah dan jimat, mesra poket hujung bulan tak pening kepala.
“Aku gaji lebih daripada tu ambil Axia je. Bini dah ada kereta, tak perlu mahal-mahal.
“Paling penting kereta boleh berhenti, bergerak, ada aircond dan tak overheat,” antara komen netizen.
Sumber: mStar