Promosi kongsi gelap di TikTok, enam lelaki ditahan

Promosi kongsi gelap di TikTok, enam lelaki ditahan

 

Promosi kongsi gelap di TikTok, enam lelaki ditahan

Enam lelaki yang disyaki mempromosi kegiatan kongsi gelap melalui platform media sosial, ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Selangor minggu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata semua suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan di Klang; Kajang; Ampang dan Gombak.

Tangkapan susulan risikan yang dijalankan selepas polis mengesan perbuatan beberapa individu cuba mempromosikan dakyah kongsi gelap di platform TikTok, baru-baru ini.

“Dua suspek ditangkap dalam operasi dijalankan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, dan tangkapan selebihnya masing-masing seorang oleh IPD Klang Selatan, IPD Ampang, IPD Klang Utara dan IPD Gombak.

“Semakan mendapati tiga suspek mempunyai rekod jenayah, dengan seorang suspek ditahan di Gombak didapati mempunyai 12 rekod jenayah serta satu rekod dadah. Tiga lagi suspek tiada rekod jenayah,” katanya dihubungi hari ini.

Hussein berkata sebanyak enam kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 atas kesalahan menyiarkan dakyah pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 atas kesalahan menganggotai pertubuhan haram.

“Suspek yang ditahan di Kajang sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 manakala lima lagi suspek, kes mereka masih dalam siasatan,” katanya.

Tambah Hussein, tindakan mengesan individu yang mempromosikan kongsi gelap dan operasi pembanterasan akan diteruskan dari semasa ke semasa di peringkat kontinjen.

Selain tindakan penguatkuasaan undang-undang, operasi ini juga bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahana mempromosi kegiatan kongsi gelap.

“Ini kerana terdapat individu yang ditangkap dalam operasi ini tidak mengetahui tindakannya mempromosikan kongsi gelap adalah satu kesalahan dan boleh ditangkap,” katanya.