Lesen tamat tempoh, Porsche milik selebriti wanita disita JPJ

Lesen tamat tempoh, Porsche milik selebriti wanita disita JPJ

 

Lesen tamat tempoh, Porsche milik selebriti wanita disita JPJ

Sebuah kereta Porsche milik seorang selebriti wanita ialah antara 101 kenderaan mewah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Luxury di seluruh negara sepanjang bulan ini.

Porsche itu disita di sebuah lokasi sekitar Lembah Klang selepas didapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta perlindungan insurans sudah tamat tempoh – antara kesalahan paling banyak direkodkan dalam operasi berkenaan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata pelaksanaan Ops Luxury bertujuan memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap pemilik kenderaan mewah yang mengabaikan tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya.

“Dalam operasi itu, sebanyak 101 kenderaan mewah dikesan melakukan kesalahan. Ia termasuk jenis Ferrari, Rolls-Royce, Bentley, Porsche Cayman, BMW 530E, Lotus Elise S, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Mercedes-Benz.

“Antara kesalahan dikenal pasti ialah LKM tamat tempoh, tiada perlindungan insurans sah dan lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen sah.

“Selain itu, nombor pendaftaran tidak sepadan dengan sistem, nombor pendaftaran palsu serta ‘trade plate’ tiruan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat JPJ Kuala Lumpur.

Turut hadir ialah Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.

Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, Ops Luxury turut mendedahkan kemungkinan terdapat kenderaan klon berdasarkan ketidakpadanan nombor casis serta penggunaan nombor pendaftaran palsu.

“Pasukan JPJ sedang menjalankan siasatan terperinci ke atas beberapa kenderaan disyaki ada kaitan dengan sindiket kenderaan klon.

“Malah, kita tidak menolak kemungkinan kenderaan yang menggunakan ‘trade plate’ palsu juga terbabit,” katanya.

Mengenai pemilik kenderaan mewah berkenaan pula, beliau mengesahkan sebahagiannya adalah individu kenamaan dan selebriti, namun identiti mereka tidak didedahkan atas dasar siasatan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, tidak kira siapa pun mereka.

“Lagi dikenali, lagi besar tanggungjawab mereka untuk menunjukkan contoh kepada masyarakat.