Polisi baru Starbucks: Pengunjung dilarang ‘study’, lepak dalam kafe tanpa buat pembelian
Polisi baru Starbucks: Pengunjung dilarang ‘study’, lepak dalam kafe tanpa buat pembelian
Starbucks Corp., jenama kopi global terkenal, mengumumkan perubahan polisi yang akan berkuat kuasa mulai 27 Januari ini.
Polisi baharu ini tidak lagi membenarkan orang ramai menggunakan kemudahan seperti tempat duduk atau tandas di kedai mereka tanpa membuat pembelian.
Langkah ini diambil untuk memastikan suasana kedai lebih kondusif dan menyokong pelanggan yang membuat pembelian.
Menurut jurucakap Starbucks, Jaci Anderson, polisi baharu ini bertujuan menjadikan kedai mereka lebih mesra pelanggan sambil mementingkan mereka yang datang untuk menikmati kopi atau menggunakan kemudahan.
“Ini adalah langkah praktikal untuk memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan berbayar. Kami mahu memastikan semua orang merasa selesa dan disambut di kedai kami,” jelas Anderson seperti dilaporkan Bloomberg pada 14 Januari.
Polisi baharu ini turut melarang aktiviti seperti mengemis atau berkelakuan yang mengganggu pelanggan.
Barista akan menerima latihan khusus untuk memastikan peraturan ini berjalan.
Jika pelanggan melanggar garis panduan, mereka boleh diminta meninggalkan premis.
Sebelum ini, Starbucks telah melaksanakan polisi yang membolehkan orang ramai menggunakan kemudahan mereka tanpa pembelian sejak enam tahun lalu.
Polisi itu dibuat selepas insiden kontroversi di Philadelphia pada 2018, di mana seorang pengurus kedai menelefon polis terhadap dua lelaki kulit hitam yang menunggu di kedai tanpa membuat sebarang pesanan.
Kejadian itu mencetuskan kritikan meluas, memaksa Starbucks menukar pendekatan mereka pada waktu itu.
Namun, kali ini, syarikat berpangkalan di Seattle itu kembali mengubah pendirian mereka, dengan harapan langkah baharu ini dapat menarik lebih ramai pelanggan.
Selain perubahan polisi kemudahan kedai, Starbucks juga memperkenalkan semula gelas dan meluaskan polisi isi ulang percuma kepada pelanggan.
Kini, pelanggan bukan ahli Rewards juga boleh mendapatkan isi ulang percuma untuk kopi panas dan kopi sejuk asalkan pesanan awal dibuat menggunakan cawan yang boleh digunakan semula, atau cawan keramik dan kaca.