Polis nafi ambil tindakan konvoi van mayat langgar lampu isyarat
Polis menafikan mengambil tindakan terhadap sebuah konvoi van membawa mayat yang didakwa melanggar lampu isyarat merah di Jalan Lintang, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, konvoi berkenaan sebaliknya ditahan bagi menasihati mereka dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang membuat lencongan jalan.
Katanya, mereka ditahan kira-kira 3.30 petang oleh sepasukan anggota polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan itu selepas melihat aliran trafik terganggu.
“Ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan anggota Rela tidak diberi kuasa untuk melencongkan jalan. Konvoi van terbabit ditahan untuk dinasihati agar tidak mengulangi perkara sama.
“Apa yang cuba ditularkan kononnya polis ingin menghalang selain tidak menghormati jasad adalah tidak benar sama sekali.
“Tiada tangkapan dilakukan biarpun sewaktu kejadian pihak terbabit cuba memprovokasi polis selain melanggar dua lampu isyarat merah,” katanya ketika ditemui selepas Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-214 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, wartawan sambilan Harian Metro Muhahammad Zulsyamini Sufian Suri antara enam pengamal media selain beberapa orang awam dianugerahkan sijil penghargaan.
Mohd Khaizam berkata, kuasa bagi melencongkan jalan hanya dimandatkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada polis.
Menurutnya, anggota Rela terbabit tidak sepatutnya mengambil tindakan sendiri dengan melencongkan jalan, sebaliknya perlu memaklumkan dahulu kepada polis.
Menerusi video insiden terbabit yang disebarkan melalui Facebook, konvoi van itu turut disertai seorang kenamaan (VIP) yang dilihat bertegang urat dengan anggota polis.
Sementara itu, ditanya sama ada VIP itu akan dipanggil bagi memberi keterangan, Khaizam mengiyakannya selain turut memanggil semua individu terbabit termasuk pemilik laman media sosial kerana menyebarkan berita tidak sahih. – HM