PM dedah sebab kenapa pilih GIP, BlackRock

PM dedah sebab kenapa pilih GIP, BlackRock

 

Penjualan pegangan saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada BlackRock dibuat selepas melalui syarat ketat, dengan tapisan dilakukan dalam kalangan keseluruhan 145 syarikat yang berminat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata daripada 145 syarikat itu, lima syarikat akhirnya disenarai layak termasuk BlackRock, dengan antara isu yang timbul di peringkat rundingan adalah kebanyakan syarikat berkenaan mahu diberikan hak mengurus sepenuhnya.

“Khazanah (Khazanah Nasional Berhad) melaporkan apabila dibuka untuk pertimbangan pengurusan, sekitar 145 (syarikat) yang berminat, akhirnya lima yang layak.

“Syarat yang ditetapkan oleh Khazanah adalah ketat dan ia tak dipersetujui kebanyakan (syarikat). Pertama, (jawatan) pengerusi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) mestilah rakyat Malaysia, selain itu, majoriti pegangan adalah (milik) Malaysia.

“Namun syarikat yang berminat ini, baik Singapura atau lain-lain, mereka nak hak mengurus. Maknanya CEO dalam kalangan rakyat dia atau mereka yang tentukan. Syarat ini tak diterima. Itu sebabnya mengapa GIP diambil,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mempersoalkan pemilihan Blackrock yang dikaitkan sebagai syarikat pro-Israel.

Pelaburan BlackRock di negara ini bukan baharu, malah syarikat pelaburan antarabangsa itu sudah melabur di negara ini sejak berpuluh-puluh tahun lalu khususnya dalam pasaran ekuiti dan bon syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat korporat Malaysia.

Semakan data menunjukkan BlackRock sudah mempunyai kepentingan dan pegangan saham dalam syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia bernilai RM24.7 bilion dan RM7.9 bilion dalam bon kerajaan dan korporat Malaysia.

Menurut data boleh diperoleh secara terbuka juga menunjukkan, sehingga Mei 2024 firma pelaburan global itu sudah sedia ada memiliki pelaburan dalam ekuiti dalam 100 syarikat tersenarai di Malaysia merangkumi keseluruhan sektor industri, dengan tiga institusi perbankan di negara ini.

Anwar menegaskan, Khazanah dalam keterangannya turut menyatakan kesukaran untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana syarikat asing memandangkan pihak mereka enggan menepati syarat ditetapkan.

“Semua (yang berminat) tidak menerima syarat ketat yang kita kenakan terutama dari segi penguasaan pegangan saham yang mana kita masih mengekalkan 70 peratus syarikat Malaysia iaitu Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.

4 kriteria pemilihan GIP

Dalam pada itu Anwar memaklumkan Konsortium diterajui pemegang saham sedia ada MAHB iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memilih GIP kerana menepati empat kriteria termasuk kepakaran teknikal dalam pengendalian lapangan terbang dan kekuatan kewangan untuk melaksanakan transaksi dan pelaburan besar.

Tiga kriteria lain membabitkan rekod pencapaian kukuh dalam transformasi lapangan terbang; kesanggupan untuk mengambil kepentingan minoriti serta kesanggupan untuk keluar setelah usaha transformasi membuahkan hasil.

Sebagai tambahan, KWSP juga telah melabur dengan GIP dalam aset infrastruktur sejak 2012, antaranya termasuklah lapangan terbang Sydney di Australia dan Lapangan Terbang Gatwick, London.

Sementara itu, Anwar ketika menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai langkah penswastaan MAHB, menegaskan isu itu tidak sepatutnya berbangkit.

Katanya, tidak timbul soal penswastaan MAHB memandangkan ia jelas masih milik kerajaan dengan pegangan saham meningkat daripada 41 ke 70 peratus.

“Jangan beri gambaran seolah kita tak urus (MAHB) dengan baik, ia mencatatkan keuntungan walaupun tidak besar. Jadi soal dibangkitkan Kota Melaka mengenai penswastaan atau penjualan, ia tak timbul.

“Kita ambil alih daripada 40 ke 70 peratus (pegangan saham), ini bukan penswastaan. Jadi ia masih milik kerajaan iaitu Khazanah dan KWSP…itu yang saya nak jelaskan,” katanya.