Pisang melekat di dinding terjual pada harga RM28 juta

Pisang melekat di dinding terjual pada harga RM28 juta

 

Pisang melekat di dinding terjual pada harga RM28 juta.

Sebiji pisang segar yang dilekatkan pada dinding, iaitu karya seni konseptual yang provokatif oleh artis visual dari Itali, Maurizio Cattelan berjaya dijual pada harga AS$6.2 juta (kira-kira RM28 juta).

Ia dibeli semalam oleh seorang usahawan mata wang kripto pada acara lelongan di New York, kata rumah lelongan Sotheby’s dalam satu kenyataan.

Karya seni boleh dimakan yang berjudul ‘Comedian’ (Pelawak) itu kali pertama dipamerkan di pameran seni Art Basel di Pulau Miami pada 2019.

Ia mencetuskan kontroversi serta menimbulkan persoalan sama ada ia harus dianggap sebagai seni, seperti matlamat asal Cattelan.

Pengasas kripto kelahiran China, Justin Sun, semalam membelanjakan lebih daripada AS$6 juta (RM26.79 juta) untuk pisang itu dan jalur tunggal pita pelekat peraknya yang mula dijual pada harga AS$120,000 (RM535,890) lima tahun lalu.

“Ini bukan sekadar karya seni. Ia mewakili fenomena budaya yang menghubungkan dunia seni, meme dan komuniti mata wang kripto.

“Saya percaya karya ini akan memberi inspirasi kepada lebih banyak pemikiran dan perbincangan pada masa hadapan dan akan menjadi sebahagian daripada sejarah,” kata Sun dipetik sebagai berkata dalam kenyataan Sotheby.

Visual pengkarya seni Itali, Maurizio Cattelan, yang memaparkan pisang dilekatkan dengan pita pelekat, bertajuk ‘Comedian’ atau Pelawak, dipamerkan semasa pratonton media di Sotheby's, New York, Amerika Syarikat. - Foto AFP

Jualan itu menampilkan tujuh pembida berpotensi dengan rumah lelongan itu mengeluarkan harga panduan AS$1 juta (RM4.47 juta) hingga AS$1.5 juta (RM6.7 juta) sebelum bidaan.

Memandangkan jangka hayat pisang tidak lama, Sun turut membeli sijil ketulenan yang memperakui karya itu dicipta oleh Cattelan, serta arahan berhubung cara menggantikan buah itu apabila ia rosak.

Karya yang dilelong semalam adalah pusingan ketiga dengan pisang pertama dimakan oleh artis persembahan, David Datuna, yang berkata dia ‘lapar’ semasa memeriksanya di pameran Miami itu.

Sun yang mengasaskan perkhidmatan tukaran wang kripto, Tron, berkata, dia juga berhasrat untuk ‘memakan’ hasil pelaburannya itu.

“Dalam beberapa hari lagi, saya akan makan pisang itu sebagai sebahagian daripada pengalaman artistik yang unik ini, menghormati tempatnya dalam sejarah seni dan budaya popular,” katanya.

Selain karya pisang itu, Cattelan juga terkenal kerana menghasilkan tandas emas 18 karat yang berfungsi sepenuhnya yang dipanggil ‘Amerika’ yang pernah ditawarkannya untuk dipinjamkan kepada Donald Trump semasa penggal pertamanya di Rumah Putih. – AFP