Bukan saja-saja, ini sebab kenapa bentuk buah pisang melengkung
![Bukan saja-saja, ini sebab kenapa bentuk buah pisang melengkung Bukan saja-saja, ini sebab kenapa bentuk buah pisang melengkung](https://beritaperak.com/wp-content/uploads/2025/02/1-34-e1738982881315.jpg)
Bukan saja-saja, ini sebab kenapa bentuk buah pisang melengkung
Pisang merupakan salah satu jenis buah tropika yang sangat popular dan mudah didapati, termasuk di Malaysia.
Buah ini terkenal dengan rasanya yang manis, teksturnya yang lembut dan kandungan nutrisi yang tinggi.
Selain itu, buah pisang juga boleh menjadi bahan masakan yang versatil. Buah yang sudah matang bukan sahaja boleh dimakan terus selepas dibuang kulitnya, malah boleh diolah menjadi pelbagai juadah yang lain.
Kita ada pisang goreng, jemput pisang, serawa pisang, jus pisang dan pelbagai lagi makanan berasaskan pisang yang sudah masak.
Manakala pisang yang masih muda boleh direbus untuk dimakan bersama kelapa parut atau sambal dan boleh juga dipotong nipis-nipis untuk digoreng menjadi kerepek.
Malah, produk-produk bakeri seperti kek dan roti berperisa pisang juga mudah didapati di mana-mana sahaja.
Menurut Hello Doktor, buah pisang juga baik untuk kesihatan. Antaranya dapat mengawal kadar gula dalam darah, membantu mempertingkat keberkesanan sistem penghadaman dan menjadi pilihan yang baik untuk dimasukkan ke dalam diet.
Pisang juga terkenal kerana mengandungi potassium dan antioksidan seperti dopamine dan catechins yang dipercayai baik untuk kesihatan jantung.
Namun begitu, pernahkah anda perhatikan secara teliti bentuk buah pisang dan bertanya kenapa bentuknya tidak lurus?
Satu lagi, kenapa buah pisang ketika membesar bergerak ke arah atas, tidak seperti buah-buahan lain yang mengikut tarikan graviti?
Menurut Australia Banana Grower Council, buah pisang berbentuk melengkung kerana disebabkan oleh satu fenomena yang dikenali sebagai negative geotropism.
Ketika buah pisang membesar, hujung buahnya bergerak ke atas dan bukannya ke bawah iaitu ke arah tanah.
Buah pisang akan terus membesar ‘melawan’ tarikan graviti, sekaligus memberikan bentuk melengkung yang unik pada buah berkenaan.
Satu lagi fakta unik tentang buah pisang adalah kandungan airnya yang mencecah sehingga 75 peratus. Sebagai perbandingan, kandungan air dalam tubuh manusia dewasa adalah kira-kira 60 peratus sahaja.