“Biasiswa pelajar tak ada kena mengena dengan pinjaman perniagaan” – Che Ta
“Biasiswa pelajar tak ada kena mengena dengan pinjaman perniagaan” – Che Ta
Tidak tahan dengan cercaan netizen berhubung isu hutang Majlis Amanah Rakyat (Mara), pelakon juga usahawan sensasi Rozita Che Wan bertegas pinjaman perniagaan institusi tersebut tiada kaitan dengan tajaan biasiswa sehingga boleh menjejaskan kelangsungan hidup pelajar seperti didakwa.
Malah Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta, 51, memaklumkan setiap orang perlu percaya kepada rezeki yang Allah tetapkan untuk setiap individu.
“Biasiswa pelajar tiada kena mengena dengan pinjaman perniagaan.
“Tetapi kalau anak awak belajar pandai, rezeki tak pernah salah alamat. Insya-Allah,” katanya dalam sebuah ruangan komen.
Perkara tersebut diluahkan selepas seorang individu meminta pelakon drama Kiah Pekasam itu melangsaikan hutangnya dengan Mara dengan mengaitkan soal biasiswa.
“Che Ta cepat bayar hutang. Ramai pelajar nak pakai duit,” ujar individu terbabit.
Bagaimanapun, rata-rata netizen kurang senang dengan respons Che Ta selain menganggap ibu kepada tiga orang anak itu angkuh menjawab pertanyaan.
“Jangan bagi alasan, pandai cakap rezeki tak salah alamat tetapi tahu tak hukum kalau tidak bayar hutang?Ramai orang Melayu yang perlukan modal untuk berniaga jadi, bayar hutang awak!,” tegas netizen.
“Masya-Allah sombongnya jawapan,” tutur netizen lain.
“Pandai pula menjawab, dah tu bayarlah balik,” jelas netizen lagi.
Pada 10 Disember lalu, kediaman usahawan terbabit dilaporkan diserbu pegawai Mara bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Difahamkan, Che Ta membuat pinjaman dengan agensi berkenaan pada 2017 dan dilaporkan dia pernah melunaskan pinjaman hutang sebanyak RM50,000.
Malah, isteri kepada pelakon Zain Saidin itu turut dikatakan sudah melunaskan bayaran baru-baru ini di pejabat Mara, namun tidak dapat dipastikan amaun yang dibayar.