Petronas kurangkan 10 peratus tenaga kerja, 5000 orang bakal terjejas

Petronas kurangkan 10 peratus tenaga kerja, 5000 orang bakal terjejas

 

Petronas kurangkan 10 peratus tenaga kerja, 5000 orang bakal terjejas

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bakal mengurangkan 10 peratus daripada tenaga kerjanya dalam mendepani cabaran operasi yang sukar terutamanya disebabkan kejatuhan harga minyak mentah.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, bilangan kakitangan yang terlibat dalam proses pengurangan itu berjumlah kira-kira 5,000 orang dan mereka yang terbabit akan dimaklumkan menjelang akhir tahun ini.

“Petronas 2.0 akan diuruskan secara berbeza, dikelolakan secara berbeza, akan mempunyai proses kerja berbeza, dan bagi mencapai matlamat itu kita perlu mengemaskan proses kerja,” katanya menurut Harian Metro.

Tengku Muhammad Taufik berkata, kumpulan itu menyasarkan operasi yang lebih kecil dan tangkas walaupun harga minyak mencecah paras tertinggi AS$100 setong (AS$1 = RM4.23).

Menurutnya, berdasarkan keadaan sebelum ini apabila lapangan minyak mengecil, margin keuntungan sebelum cukai syarikat itu adalah pada kira-kira 35 hingga 40 peratus.

“Hari ini ia berada (antara) 25 dan 38 peratus. Margin ini akan terus menyusut lagi dan lapangan minyak akan menjadi lebih kecil. Jadi nilai tambah (Petronas) 2.0 perlu mengubahnya kepada organisasi yang menjana keuntungan secara komersial dan kompetitif, bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di luar negara,” katanya.

Anggaran peruntukan perbelanjaan Petronas adalah berdasarkan minyak Brent pada sekitar US$75 (RM318.41) hingga AS$80 setong.

Minyak penanda aras global itu kini didagangkan hampir AS$65, turun kira-kira 13 peratus tahun ini, berikutan ketegangan perdagangan yang menjejaskan pertumbuhan global serta usaha OPEC+ untuk memulihkan pengeluaran.

Pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024, Petronas mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM55.1 bilion, turun 31.7 peratus daripada RM80.7 bilion setahun sebelumnya berikutan purata harga direalisasi yang lebih rendah dan pelarasan cukai pada 2023.

Sementara itu, mengenai Petroleum Sarawak Bhd (Petros), Tengku Muhammad Taufik berkata, Petronas tetap terbuka untuk mengadakan perbincangan berterusan berhubung peranannya di negeri itu.

Pada 21 Mei, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menandatangani Deklarasi Bersama yang menyatakan bahawa Petronas akan terus memenuhi fungsi, aktiviti, tanggungjawab dan kewajipannya seperti yang diamanatkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan peraturan berkaitan.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, prinsip asas telah dipersetujui untuk memudahkan rundingan lanjut antara Petronas dan Petros.

Deklarasi Bersama itu memperakui kedua-dua undang-undang Persekutuan dan Negeri, status perjanjian sedia ada, dan penubuhan rangka kerja kerjasama antara Petronas dan Petros.

Menurut Deklarasi Bersama, kerajaan negeri Sarawak telah melantik Petros sebagai agregator gas berkuat kuasa 1 Mac, 2025.

Selain itu, kedua-dua Petronas dan Petros akan mengadakan perbincangan untuk tujuan meluaskan kerjasama perniagaan bagi keperluan gas Sarawak di beberapa kawasan.