Pesara bujang perlu RM2,690 sebulan untuk kekalkan taraf hidup munasabah

Pesara bujang perlu RM2,690 sebulan untuk kekalkan taraf hidup munasabah

 

Pesara bujang perlu RM2,690 sebulan untuk kekalkan taraf hidup munasabah

Pesara memerlukan kira-kira antara RM2,690 hingga RM3,390 sebulan sebagai pendapatan persaraan mencukupi untuk mengekalkan taraf hidup yang munasabah ketika bersara, menurut Panduan Belanjawanku 2024/2025 yang dilancarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Berdasarkan kajian, anggaran belanjawan bulanan warga emas dengan pasangan di Lembah Klang adalah RM3,390 sebulan, manakala individu tidak berpasangan adalah RM2,690 sebulan.
Bersandarkan anggaran pendapatan itu, jumlah simpanan mencukupi bagi persaraan dianggarkan sekitar RM650,000, manakala simpanan asas persaraan pula sekitar RM390,000.

Sejak 2019, KWSP bersama Pusat Kajian Kesejahteraan Sosial (SWRC) di Universiti Malaya telah membangunkan Panduan Belanjawanku bagi menganggarkan perbelanjaan bulanan minimum yang diperlukan untuk mencapai standard kehidupan yang wajar.

Panduan Belanjawanku, yang kini diperluaskan meliputi 11 bandar utama lain di Malaysia selepas tertumpu kawasan Lembah Klang pada awalnya, turut menjadi rujukan kepada semakan jumlah Simpanan Asas KWSP dan pembangunan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) baharu, yang dibuat berdasarkan kerangka Simpanan Asas yang diperkenalkan pada 2008.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, Panduan Belanjawanku dan Rangka Kerja RIA adalah asas kepada tujuan KWSP dalam membina masa depan persaraan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.

Beliau berkata, panduan itu membantu rakyat Malaysia menghadapi cabaran dalam menguruskan perbelanjaan isi rumah, sementara KWSP menyediakan landasan untuk membina simpanan persaraan yang mencukupi.

Katanya, dengan menyediakan gambaran komprehensif mengenai perbelanjaan bulanan dan memperkenalkan penanda aras simpanan yang baharu, pihaknya berhasrat untuk membimbing ahli mencapai persaraan yang bermakna.

“Inisiatif ini menunjukkan komitmen utuh KWSP untuk menyesuaikan organisasi dengan realiti sosioekonomi yang berubah-ubah dan kekal relevan pada objektif di samping memastikan tiada rakyat Malaysia ketinggalan dalam merancang masa depan yang sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut KWSP, Rangka Kerja RIA akan mempunyai rangka kerja simpanan tiga peringkat iaitu Simpanan dan Pendapatan Asas; Simpanan dan Pendapatan Mencukupi dan Simpanan dan Pendapatan Dipertingkat.

Rangka kerja yang bakal dilancarkan Januari 2026, membolehkan ahli menetapkan sasaran simpanan mengikut gaya hidup dan aspirasi persaraan berbeza.

Ia akan disandarkan pada pendapatan persaraan mencukupi seperti yang ditentukan dalam Belanjawanku dari semasa ke semasa.

Rangka kerja itu menggalakkan pengeluaran bulanan selama 20 tahun, sejajar dengan purata jangka hayat di Malaysia.

Sebagai gambaran, tahap simpanan yang berbeza akan diterjemahkan pada umur persaraan iaitu bagi Simpanan Mencukupi (RM650,000), ia membolehkan pengeluaran bulanan bermula pada RM2,708 di tahun satu, meningkat kepada RM7,389 menjelang tahun 20.

Simpanan Asas (RM390,000) pula menyokong pengeluaran bulanan sebanyak RM1,625 di tahun satu, meningkat kepada RM4,434 menjelang tahun 20.

Simpanan Dipertingkat (RM1.3 juta) menyediakan pengeluaran bulanan sebanyak RM5,417 di tahun satu, meningkat kepada RM14,779 menjelang tahun 20 untuk persaraan yang lebih selesa.

Tahap simpanan RIA akan disemak setiap tiga tahun bermula pada 2029 menggunakan data terkini daripada hasil kajian Belanjawanku agar terus relevan dengan peningkatan kos.

Menurut KWSP, polisi pengeluaran simpanan melebihi RM1 juta akan sejajar dengan penanda aras Simpanan Dipertingkat, yang menawarkan fleksibiliti untuk ahli menguruskan dana lebihan mereka.

Pengurus dana persaraan itu berkata, seperti peralihan untuk tahap Simpanan Asas, penanda aras bagi pengeluaran itu akan meningkat secara berperingkat sebanyak RM100,000 setiap tahun dalam tempoh tiga tahun.

Selain itu, katanya, di bawah Skim Pelaburan Ahli (SPA), ahli boleh memindahkan 30 peratus daripada simpanan yang melebihi jumlah Simpanan Asas dalam Akaun Persaraan kepada dana yang diuruskan oleh institusi pengurusan dana yang dilantik, berdasarkan jadual Simpanan Asas Baharu berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Setakat Oktober 2024, sekitar 36 peratus ahli KWSP yang aktif formal melepasi tahap Simpanan Asas sedia mengikut umur, disandarkan pada RM240,000 di umur 55.

Walaupun peratusan itu mungkin menerima kesan daripada penanda aras baharu ini dalam jangka sederhana, pelarasan itu penting untuk meletakkan simpanan ahli seiring dengan peningkatan kos sara hidup dan umur persaraan semasa di Malaysia.

Bagi melaksanakan peralihan secara berfasa, KWSP berkata, jumlah simpanan asas akan dinaikkan secara berperingkat sebanyak RM50,000 setiap tahun untuk tempoh tiga tahun dengan RM290,000 menjelang 1 Januari 2026; RM340,000 menjelang 1 Januari 2027 dan RM390,000 menjelang 1 Januari 2028.