Pernah tolak lamaran Sudirman, tak sangka ini alasan Zaiton Sameon

Pernah tolak lamaran Sudirman, tak sangka ini alasan Zaiton Sameon

 

Penyanyi terkenal era 1980-an, Zaiton Sameon kembali menjadi sorotan ramai baru-baru ini selepas tampil membuat pendedahan yang mengejutkan.

Mana tidaknya, penyanyi yang kini berusia 68 tahun itu mendedahkan dirinya pernah dilamar oleh sosok lagenda tanah air iaitu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Perkara tersebut dikongsikan Zaiton dalam sesi temu bual bersama Sinar FM yang sempat dirakam sebelum dimuat naik menerusi akaun TikTok milik stesen radio berkenaan.

Dalam temu bual tersebut, pelantun lagu Menaruh Harapan itu menjelaskan bahawa dirinya mula mengenali Sudirman saat sama-sama bersekolah di Temerloh, Pahang.

Persahabatan mereka kekal sehingga dewasa malah lelaki yang pernah bergelar penyanyi nombor satu Asia itu turut menciptakan lagu Lupakan Saja untuk Zaiton.

“Saya memang rapat dengan arwah Sudirman daripada Darjah Satu lagi dan ketika itu, beliau Darjah Tiga. Kami bersekolah di tempat yang sama di Temerloh, Pahang.

“Arwah Abah saya polis. Kami pernah tinggal di Temerloh dan Maran. Saya berkongsi dengan beliau mengenai kisah sedih yang dialami seperti kahwin, cerai berulang kali.

“(Kejadian itu membuatkan) sampai saya nak bunuh diri. Dia kata lupakanlah pasal kisah itu. Lupakan saja, kiranya cinta yang kau bawa (lirik Lupakan Saja),” katanya.

Simpati dengan nasib menimpa Zaiton, Allahyarham Sudirman juga pernah mengajak pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-2 pada 1987 itu mendirikan rumah tangga.

@sinar_my

Pada tahun 1990, Zaiton pernah mengalami kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor yang meragut nyawa anak tunggalnya serta mengakibatkan dia cedera parah di bahagian kepala. Allahyarham Sudirman dan Allahyarhamah Sharifah Aini antara kawan baik yang selalu melawatnya. #SINARKongsi #BorakSelebriti #fyppppppppppppppppppppppp #xcyzba #zaitonsameon

♬ original sound – SINAR – SINAR

Walau bagaimanapun, Zaiton membuat keputusan untuk menolak sahaja lamaran sahabat karibnya itu dengan jawapan yang sangat terus terang namun mencuit hati.

“Dia pernah kata, ‘Ton, jom kita kahwin’. Saya jawab macam mana nak kahwin, kau pendek. Tak baiklah saya kan. Tetapi saya cakap ‘direct’.” Ulasnya dengan nada seloroh.

Penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu juga sempat menzahirkan rasa kesedihannya kerana tidak sempat bekerjasama sebagai rakan duet bersama arwah Sudirman.

Rancangan itu terhenti kerana Zaiton terlibat dalam kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada 1990 yang menyebabkannya cedera parah di bahagian kepala.

Bukan sahaja hilang ingatan sementara, Zaiton turut kehilangan anak lelaki tunggal berusia 13 tahun iaitu Azirwan Abu Bakar yang meninggal dunia dalam insiden itu.

Kongsi Zaiton lagi, arwah Sudirman dan seorang lagi sahabatnya iaitu Allahyarham Datuk Sharifah Aini sering melawatnya di hospital selepas kemalangan tersebut berlaku.